HomeBeritaPolitik'Tak desak, tetapi setuju kalau PAS beri jawatan Timbalan MB - Bersatu

‘Tak desak, tetapi setuju kalau PAS beri jawatan Timbalan MB – Bersatu

KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat bersetuju sekiranya jawatan Timbalan Menteri Besar Terengganu dipilih dalam kalangan wakil rakyat Bersatu.

Ketua Bahagian Bersatu Kuala Nerus itu berkata, tindakan itu jika berlaku boleh membantu dalam mengukuhkan lagi hubungan sedia terjalin antara parti itu dan PAS dalam Perikatan Nasional (PN).

“Jika tanya pandangan saya berhubung jawatan itu (Timbalan Menteri Besar Terengganu), saya bersetuju sekiranya pucuk pimpinan negeri diketuai PAS memilih wakil rakyat dalam kalangan Bersatu.

“Ia mampu mengerat dan mengukuhkan lagi hubungan yang sedia terjalin dalam PN antara PAS dan Bersatu.

“Bagaimanapun kami daripada Bersatu tidak akan sesekali mendesak untuk dilantik memegang jawatan nombor dua itu, terserah kepada pucuk pimpinan negeri,” katanya.

Terdahulu Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris memaklumkan tiada sebarang rancangan untuk meletakkan calon Bersatu sebagai Timbalan Menteri Besar di Kelantan atau di mana-mana negeri yang kini dikuasai PN.

Sebaliknya Razali yang baharu dipilih sebagai ADUN Kijal mengakui pimpinan Bersatu lebih selesa untuk berada di barisan Exco dalam pentadbiran di tiga negeri diterajui PN iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Pada PRN Sabtu lalu, Bersatu menyumbang lima kerusi dalam keputusan yang menyaksikan PN menyapu bersih semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan di Terengganu.

Lima kerusi itu ialah DUN Telemung, Hulu Besut, Permaisuri, Seberang Takir dan Kijal.

Ditanya mengenai agihan kerusi Exco untuk wakil rakyat Bersatu, Khazan berkata perkara itu juga diserahkan kepada pertimbangan pucuk pimpinan PAS untuk menentukannya. – Berita Harian

Author

Pilihan Editor