SEORANG lelaki bertindak agresif dengan membeli kesemua bungkusan mi segera di sebuah gerai bernilai 850 yuan (RM541), sebelum membuang makanan itu ke atas tanah.
Difahamkan, lelaki dari wilayah Shandong di Timur China melakukan perbuatan tersebut, selepas mendakwa dirinya dihina oleh anak pemilik gerai tersebut.
Kejadian pada 24 Julai itu bermula apabila lelaki itu mengadu bahawa harga 14 yuan (RM9) bagi semangkuk mi segera adalah terlalu mahal.
Ketika ditanya kandungan lain dalam mi segera itu, penjual tersebut menyatakan bahawa dia hanya mencampurkan sebiji telur dan dua helai sayur.
Meskipun menyatakan rasa tidak puas hati, si penjual tetap tidak mengendahkan aduan lelaki tersebut.
Sebaliknya, anak penjual tersebut yang tampil memberi respons dan menjerit kepadanya.
“Jika anda tidak mampu, pergi dari sini,” halau anak penjual berkenaan seperti dilapor South China Morning Post.
Terasa dihina, lelaki tersebut kemudian membeli kesemua peket mi segera yang ada di gerai tersebut, sebelum mencampakkan ke atas tanah dan membayar kerugian tambahan.
Melihat perbuatan itu, anak penjual tersebut kemudian bertindak meminta maaf kepada lelaki berkenaan.
Video kejadian terbabit tular di media sosial dan menjadi buah mulut di China.
Malah, konflik perkhidmatan pelanggan sering menjadi trend di negara tanah besar itu.
Pada Mei, seorang pengurus restoran barbeku di timur China, bertindak melutut dan meminta maaf kepada pelanggan yang mengadu terpaksa beratur dalam barisan panjang.
Bulan berikutnya, seorang wanita dikenakan bayaran tambahan 300 yuan (RM189) kerana dia dan rakan-rakannya tidak mencipta suasana gembira di dalam sebuah bar.