CYBERJAYA: Seorang pelajar lelaki sekolah menengah berdepan detik cemas dan menahan sakit apabila kakinya tersepit pada penutup longkang di Limbang, pagi tadi.
Difahamkan, pelajar berkenaan baru saja mahu memulakan sesi persekolahan.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang, Clarence D.Primus Tiandun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari sekolah menengah terbabit pada jam 6.12 pagi tadi dan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota penyelamat mendapati kaki seorang pelajar lelaki telah tersepit pada celah besi penutup longkang sehingga ke bahagian paha.
“Namun pelajar terbabit tiada mengalami kecederaan yang serius,” jelasnya seperti dilapor Utusan.
Tambah beliau, pihaknya mengambil masa 12 minit bagi operasi memotong dan merenggangkan besi itu menggunakan peralatan kecemasan.
“Anggota penyelamat mengambil masa kira-kira 12 minit bagi usaha memotong besi tersebut menggunakan peralatan kecemasan.
“Setelah keadaan selamat dan selesai pasukan bertolak balik ke balai,” ujarnya.