CYBERJAYA: Syarikat Touch ‘n Go Sdn Bhd (TnG) tampil dengan produk baharu dikenali “Touch ‘n Go Charm Furry Series: Rabbit Charm” (TnG Charm).
TnG Charm adalah sebuah aksesori kunci yang boleh dipasang pada beg atau dompet sekali gus memudahkan ia untuk dikeluarkan atau digantung pada mana-mana, berbanding menggunakan kad yang mungkin tersimpan ia di suatu tempat yang sukar dicapai atau ditemui, lapor portal Amanz.
Laporan sama turut menyatakan fungsi TnG Charm sama seperti kad TnG enhanced yang membolehkan pengguna melakukan tambah-nilai kredit terus melalui telefon yang menyokong NFC.
Justeru, TnG Charm boleh dipautkan ke dompet digital TNG eWallet, dan seterusnya digunakan untuk melakukan pembayaran dengan menyentuh ia pada terminal pembayaran yang menyokong pembayaran secara Touch ‘n Go.
Setakat ini, TnG Charm boleh dibeli di Touch ‘n Go Service & Sales Centre di Nu Sentral dan Bangsar South dengan harga RM30 setiap satu.
Sempena bulan Ogos, TNG Charm ditawarkan dengan pilihan watak arnab.
Penawaran melalui kedai atas talian Shopee akan dilakukan mulai 24 Ogos 2023.