HomeBeritaPolitik'Tumpu kes mahkamah dulu', Anwar tempelak desakan Muhyiddin

‘Tumpu kes mahkamah dulu’, Anwar tempelak desakan Muhyiddin

 

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas semula kenyataan Tan Sri Muhyiddin yang mendesaknya untuk meletakkan jawatan.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sebaliknya menyarankan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu untuk memberi tumpuan kepada kes-kes mahkamah yang sedang dihadapinya.

Jelasnya, kerajaan masih mempunyai dua pertiga majoriti Ahli Parlimen serta memenangi tiga negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas.

“Kita kekal dengan kemenangan tiga negeri, kita masih dapat dua pertiga majoriti ahli Parlimen. Dia (Muhyiddin) fikirkan apa? Saya nasihatkan dia tumpu kes mahkamah,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Sebelum ini, Muhyiddin meminta Anwar dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan serta-merta susulan penolakan pengundi Melayu dalam PRN lepas.

Muhyiddin dilapor berkata, kemenangan PN di kerusi majoriti Melayu dan kawasan campuran membuktikan penolakan besar-besaran orang Melayu dan masyarakat bukan Melayu terhadap gabungan politik rapuh serta perpaduan palsu yang diterajui oleh Anwar dan Ahmad Zahid.

Mengulas mengenai kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ditadbir pembangkang, Anwar berkata, perkara itu terpulang kepada keputusan parti lawan.

“Terserah kepada sikap mereka (pembangkang)… jika mereka mahu kerjasama… saya akan ikut kaedahnya, bukan saja dari segi kenyataan begitu juga tindakan.

“Saya nak pastikan semangat tatakelola itu betul. Mahu wang untuk orang miskin bagi dekat orang miskin, jangan dialihkan ke lain… saya akan tegas bab ini,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor