HomeBeritaPolitikZahid Hamidi akui BN ditolak rakyat besar-besaran

Zahid Hamidi akui BN ditolak rakyat besar-besaran

CYBERJAYA: Barisan Nasional (BN) sedang menghadapi penolakan besar rakyat khususnya golongan Melayu, akui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi BN itu berkata, penolakan oleh rakyat itu memberi gambaran tidak sihat dan keadaan tersebut menuntut BN supaya bergerak lebih agresif dan membina semula keyakinan mereka.

Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden UMNO itu percaya, sokongan rakyat kepada BN yang telah merudum dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan pilihan raya negeri (PRN) boleh dibina semula selain menyifatkan situasi sebegitu lumrah biasa dalam politik.

“Dalam cabaran yang kita hadapi sekarang, ketika UMNO dilanda penolakan orang Melayu. Parti komponen BN iaitu UMNO, MIC, MCA dan PBRS harus bangun semula dapatkan dukungan rakyat.

“Penolakan ini memberi landskap yang tidak sihat kepada negara. Sokongan kepada BN yang merudum pada PRU15 dan PRN boleh dibina semula,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri itu turut berkata, BN tidak boleh mempunyai agenda untuk meminggirkan di antara satu sama lain dalam usaha membina semula sokongan rakyat kepada gabungan itu.

“Kita kena sokong antara UMNO, MIC, MCA serta PBRS dan juga rakan-rakan dalam rakan kepada BN.

“Sejarah sering ada putarannya. Kita sedang hadapi penolakan ini, yang agak ke bawah kedudukan BN. Tapi tidak selalunya yang di bawah ini akan terus di bawah kalau kita ada usaha untuk naikkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) adalah jalan terbaik bagi memulihkan semula imej gabungan itu, selain memerlukan komitmen tinggi parti komponen di semua peringkat.

“Apa yang terbaik adalah rangkaian kerjasama kita dalam PH. Kombinasi kita dengan PH walaupun belum menampakkan keyakinan yang baik, namun tempoh ini baru sembilan bulan bagi BN dan rakan-rakan dalam PH untuk bina semula sokongan.

“Komitmen bukan hanya diperlukan dari kepemimpinan atasan, tapi di semua peringkat tidak kira nasional, negeri, Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) wajib kita susun semula dan kembalikan keyakinan ini,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor