CYBERJAYA: Pelakon sensasi, Aedy Ashraf akhirnya tampil membuka mulut berhubung beberapa spekulasi yang mengaitkan namanya hingga mencetuskan kontroversi, baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Instagram, Aedy atau nama sebenarnya, Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 30, berkata, spekulasi yang ditulis oleh seorang rakannya di dalam sebuah buku yang diterbitkan baru-baru ini adalah tidak benar.
Aedy menjelaskan dia dan rakannya itu tidak pernah menjalin hubungan cinta dan menegaskan mereka hanya sebatas rakan.
“Banyak spekulasi mengenai saya kebelakangan ini. Saya di sini tampil untuk menjelaskan segalanya.
“spekulasi tentang apa yang ditulis seorang rakan dalam bukunya tentang saya itu tidak benar.
“Kami tidak pernah mempunyai hubungan romantik dan tidak lebih daripada kawan,” tulisnya.
Pelakon filem Tebus itu menegaskan dia tidak membenarkan gambar berkenaan disiarkan di mana-mana platform media sosial
“Gambar kontroversi dari adegan filem yang saya buat. Saya tidak memberi kebenaran untuk gambar ini disiarkan di mana-mana platform media sosial.
“Saya juga tidak pernah bersetuju bahan seperti ini disiarkan untuk mempromosikan filem tersebut,” tegasnya.
Dalam pada itu, Aedy percaya filem itu boleh berjaya tanpa menggunakan publisiti murahan.
“Ia adalah filem hebat yang saya benar-benar percaya. Saya telah meletakkan begitu banyak tenaga, masa dan usaha memastikan filem itu memberi impak yang menakjubkan untuk peminat.
“Saya enggan membiarkan semuanya mati sia-sia untuk aksi publisiti. Apa yang saya lakukan adalah untuk keluarga dan peminat saya,” jelasnya.
Terdahulu, nama Aedy terkait apabila gambar mesra bersama gandingannya dalam filem Tebus, Ahirine Ahirudin tersebar.
Malah, netizen ‘memetik’ namanya selepas penyanyi dan pelakon, Daiyan Trisha memuat naik puisi berkaitan kecurangan dalam media sosial, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Daiyan menafikan perkara itu dan menyifatkan ia hanyalah andaian netizen semata-mata.