HomeGlobalAir bercampur mayat, sampah undang kegusaran wabak taun di Libya

Air bercampur mayat, sampah undang kegusaran wabak taun di Libya

KEBIMBANGAN terhadap wabak taun di bandar Derna, timur Libya yang dilanda banjir meningkat, tatkala pasukan penyelamat bergelut menghadapi ribuan mayat terdampar di laut dan reput di bawah runtuhan.

Ketua bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB), Martin Griffiths berkata, Libya memerlukan peralatan untuk mencari mangsa yang terperangkap dalam enapcemar dan bangunan yang rosak serta penjagaan kesihatan primer untuk mencegah penyakit.

“Kawasan yang perlu diberi keutamaan adalah tempat tinggal, makanan, dan penjagaan perubatan berikutan kebimbangan wabak taun serta kekurangan air bersih,” katanya seperti dilapor Arab News.

Bandar Derna musnah akibat banjir pada malam Ahad, sekali gus memusnahkan seluruh bangunan ketika penduduk sedang tidur.

Griffiths berkata, cadangan Datuk Bandar Derna mewujudkan koridor maritim bagi menyampaikan bantuan boleh menjadi pilihan yang berdaya maju, memandangkan bandar itu terletak di Laut Mediterranean.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kumpulan bantuan lain menggesa pihak berkuasa di Libya untuk menghentikan pengebumian mangsa banjir di kubur besar, yang boleh membawa tekanan mental jangka panjang kepada keluarga sekain boleh membawa risiko kesihatan jika terletak berhampiran kawasan air.

Laporan PBB menyatakan, lebih 1,000 orang setakat ini telah dikebumikan dengan cara tersebut sejak Ahad.

Sehingga kini, 20,000 terkorban dalam banjir ribut, selepas dua empangan pecah manakala ribuan lagi hilang.

Menteri Kesihatan, Ibrahim Al-Arabi berkata, air bawah tanah tercemar dengan air bercampur dengan mayat manusia, bangkai haiwan, sampah sarap serta bahan kimia.

“Kami menggesa orang ramai supaya tidak mendekati telaga di Derna,” katanya.

Ketua Hospital Wahda di Derna, Mohammad Al-Qabisi berkata, sebuah hospital lapangan sedang merawat penghidap penyakit kronik yang memerlukan perhatian berkala.

Beliau berkata, terdapat kebimbangan penyakit bawaan air akan merebak, tetapi tiada kes taun direkodkan setakat ini.

Author

Pilihan Editor