HomeBeritaBaling daerah terbaharu dilanda banjir, jumlah terkini 1,220 mangsa

Baling daerah terbaharu dilanda banjir, jumlah terkini 1,220 mangsa

 

ALOR SETAR: Seramai 244 orang daripada 83 keluarga di Baling termasuk penduduk Kampung Iboi terjejas banjir sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 1,220 mangsa di negeri ini setakat pukul 8 pagi.

Kesemua mereka dari beberapa kampung yang dinaiki air di daerah itu kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Iboi dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai.

Pokok Sena mencatatkan jumlah tertinggi mangsa iaitu seramai 478 orang daripada 136 buah keluarga yang berlindung di PPS SK Bukit Hijau, Maahad Tarbiyah Derang dan Surau Permatang Limau.

Dua lagi daerah yang terlibat banjir iaitu Kubang Pasu dan Kota Setar masing-masing merekodkan 295 dan 203 mangsa daripada keseluruhan 153 keluarga.

Mereka kini berada di enam PPS antaranya SMK Changlun, SK Malau, Dewan PPK Lubuk Batu di Kubang Pasu serta SK Taman Aman dan SMK Kepala Batas di Kota Setar. – Utusan

Author

Pilihan Editor