KEMAMAN: Seorang bapa dan dua anak lelakinya termasuk bayi berusia setahun dikenal pasti merupakan tiga individu yang maut dalam kemalangan di Kilometer 154, Jalan Jerangau-Jabor dekat persimpangan Cheneh-Mak Lagam, dekat sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang, mangsa yang dikenali Ammir Hussein Mohamad, 38, yang tinggal di Taman Bukit Kuang Permai, di sini meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan di beberapa anggota badan.
Dua anak lelakinya iaitu, Ammzar Husszair Al Hussein, 4, dan Ammzar Hussnayan Al Hussein, 1, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman.
Isterinya, Norhafizah Sazwa Harun, 38, yang sedang mengandung mengalami kecederaan di bahagian perut manakala anak angkat mereka Ammzar Hussniah Ammir Hussein Abdul Azim, 8, masih tidak sedarkan diri dan sedang dirawat di Hospital Kemaman.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian, kenderaan Naza Citra yang dipandu Norhafizah Sazwa dan empat ahli keluarganya sedang dalam perjalanan dari kediaman mereka menghala ke Cheneh untuk menghantar sabun jualan.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah lori Dipper Tipper jenis Nisan yang dipandu lelaki berusia 44 tahun dari arah Mak Lagam menghala ke Ladang Perwira, Cheneh untuk mengisi muatan pasir tiba-tiba keluar dari simpang kiri secara mengejut berikutan brek gagal berfungsi.
“Ekoran jarak terlalu dekat, lori tersebut merempuh kenderaan dinaiki keluarga itu,” katanya.
Hanyan berkata, siasatan lanjut terhadap pemandu yang berasal dari Simpang Ampat, Perlis itu mendapati ujian urinnya negatif dadah dan bebas sebarang rekod jenayah lampau.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut manakala dua lagi mangsa masih dirawat di hospital sama,” katanya. – Utusan