HomeGlobalBayi ditinggal dalam kereta sebelum mayat diletak dalam beg sampah

Bayi ditinggal dalam kereta sebelum mayat diletak dalam beg sampah

POLIS menahan seorang pengasuh yang dipercayai meninggalkan seorang bayi dan seekor anjing di dalam sebuah kereta panas selama enam jam.

Kristen Graham, 40, dari Seaford didakwa atas kesalahan pengabaian kanak-kanak dan kekejaman salah laku terhadap haiwan, lapor New York Post.

Dalam satu sidang media, pegawai polis, Sheriff York-Poquoson Ron Montgomery berkata, suspek juga boleh didakwa atas tuduhan membunuh bergantung kepada keputusan bedah siasat bayi tersebut.

Seorang lelaki warga emas mendakwa bahawa, dia menemui mayat bayi itu yang dikenali sebagai Myrical Eunik Wicker, 11 bulan, diletakkan dalam beg sampah di dalam kereta wanita tersebut.

Siasatan kes itu mula dijalankan pada petang Selasa, selepas pihak polis dipanggil ke hospital di Newport News, dekat Virginia, Amerika Syarikat (AS).

Pegawai penyiasat kemudian menghubungi Graham dan menjalankan siasatan ke atasnya.

Hasil siasatan mendapati, suspek baru sahaja menjaga bayi berkenaan selama kira-kira dua hari.

Kronologi

Sekitar jam 1 pagi Selasa, Graham menerima panggilan daripada seorang rakan yang memintanya untuk membeli sekotak rokok.

Rakannya ketika itu sedang menjaga seorang warga emas di Newport News dan tidak boleh keluar rumah untuk membeli-belah.

“Oleh itu, bayi tersebut diletakkan di belakang tempat duduk belakang kenderaan bersama seekor anjing kecil untuk mengikut suspek membeli rokok dan sebotol jus epal di kedai 7-Eleven,” kata Mongomery.

Graham kemudian menuju ke rumah rakannya dan tinggal di sana untuk beberapa ketika.

Sekitar jam 8 pagi, dia pulang ke rumahnya di Seaford Road dan meninggalkan bayi serta anjing itu di dalam kenderaan tanpa membuka tingkap atau pintu.

Dia kemudian tidur sebelum dikejutkan dengan panggilan telefon kira-kira enam jam kemudian iaitu antara jam 2 petang dan 2.30 petang.

Tidak lama kemudian, suspek keluar rumah untuk memeriksa keadaan mangsa dan mendapati kedua-dua bayi dan anjing tersebut sudah tidak bernyawa.

Difahamkan, suhu di Seaford Road ketika itu mencecah mencecah 88 darjah Celcius.

Mayat bayi tersebut kemudian dibawa masuk ke dalam rumah dan disumbat ke dalam beg sampah hitam.

Seorang warga emas Paul Kudlaty yang berusia 80 tahun membawa mayat bayi berkenaan ke Hospital Bon Secours Mary Immaculate.

Montgomery berkata, Kudlaty tidak akan berdepan dengan sebarang pertuduhan berhubung kematian bayi tersebut.

Pegawai polis itu kemudian menuju ke rumah Graham untuk melakukan pemeriksaan dan mendapati bangkai anjing diletakkan di dalam tab mandi.

Graham memberitahu penyiasat bahawa perkara terakhir yang diingati adalah memasuki ke dalam rumahnya dan mematikan enjin keretanya.

Wanita itu juga didakwa telah mengambil ubat sakit saraf preskripsi sebelum memandu ke Newport News.

Lancar kempen

Bayi berkenaan (kanan) bergambar bersama ibunya. -Foto: Agensi

Ibu bayi berkenaan, Arianna Wicker baru sahaja berusia 17 tahun, manakala kanak-kanak itu dilahirkan pada Oktober 2022.

Nenek bayi itu, Frances Spires sudah pun melancarkan kempen GoFundMe untuk membantu Wicker menguruskan upacara pengebumian bayi malang tersebut.

Spires berkata, Wicker baru sahaja tamat sekolah dan menganggur.

Dalam satu kenyataan, bapa bayi tersebut, Tyshaun Butts yang turut melancarkan kempen memungut dana berkata, dia menganggap pengasuh berkenaan sama seperti ahli keluarganya.

Author

Pilihan Editor