JOHOR BAHRU: Cadangan Datuk Seri Mukhriz Mahathir supaya Perikatan Nasional (PN) menggantikan UMNO yang didakwa menjadi ‘duri dalam daging’ terhadap pelbagai masalah dalam negara, adalah tidak sesuai.
Sebaliknya, Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Teknologi & Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata, langkah terbaik yang perlu diambil bagi menyelesaikan segala kemelut politik negara adalah menerusi memorandum persefahaman (MoU) di antara kerajaan dan pembangkang.
Katanya, cadangan Mukhriz yang juga Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu tidak akan menyelesaikan kemelut politik berlaku malah akan mengakibatkan kesan lebih buruk, jika UMNO diketepikan.
“Saya melihat cadangan Mukhriz itu tidak lagi sesuai kerana seharusnya PN menerima cadangan berkenaan ketika Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi saranan itu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Bagi mencadangkan saranan yang sudah dibuat Yang di-Pertuan Agong itu dilihat sudah terlambat, apatah lagi UMNO sudah mengambil alih peranan yang sepatutnya diterima PN.
“Langkah terbaik bagi menyelesaikan segala kemelut politik yang berlaku adalah untuk kerajaan dan pembangkang buangkan ego dan duduk semeja bagi mencapai persefahaman dan gencatan politik menerusi MoU seperti pernah dilakukan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, Pejuang dilaporkan mencadangkan PN menggantikan UMNO yang didakwa menjadi ‘duri dalam daging’ terhadap pelbagai masalah dalam negara.
Presiden Pejuang, Mukhriz dilaporkan berkata jika gabungan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu enggan berbuat demikian, PN dan Pakatan Harapan (PH) boleh mempertimbangkan untuk memeterai perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) bagi memastikan pentadbiran negara berjalan lancar.
Minggu lalu, sidang Pengarang BH, NST dan HM mengesyorkan supaya MoU antara kerajaan dan pembangkang diadakan segera berdasarkan peruntukan Perlembagaan.
Ia penting supaya kerajaan dan pembangkang duduk semeja dan ‘berdamai’ serta menumpukan usaha pemulihan negara secara total dan holistik.
Mengulas sama ada MoU di antara Kerajaan Perpaduan dan pembangkang itu boleh dilaksanakan ketika ini, Mazlan berkata, ia boleh dilaksanakan jika kerajaan dan pembangkang mengetepikan permusuhan yang berlaku demi pembangunan negara dan rakyat.
“Kerajaan Perpaduan dan pembangkang perlu mempunyai iltizam yang tinggi untuk bersama-sama menerajui negara demi rakyat.
“Bukan sahaja suasana politik lebih kondusif dapat diwujudkan, malah pembangkang boleh sahaja meneruskan sokongan menerusi prinsip diperjuangkan dan hanya menyokong usul demi kebaikan rakyat dan negara.
“Malah MoU itu juga bermanfaat kepada pembangkang kerana kerajaan Persekutuan akan menyalurkan peruntukan dan geran pembangunan kepada negeri diperintah parti pembangkang, selain mengagihkan geran pembangunan kepada wakil rakyat pembangkang,” katanya. – Berita Harian