HomePendidikanCikgu Seni ubah bilik darjah ‘uzur’ jadi seakan kafe hispter

Cikgu Seni ubah bilik darjah ‘uzur’ jadi seakan kafe hispter

SIAPA sangka, usia bangunan sekolah yang sudah menjangkau 120 tahun dengan berlantaikan kayu tidak menghalang seorang guru Pendidikan Seni Visual (PSV) menghias bilik darjah menggunakan bahan kitar semula menjadi persis kafe ‘hipster’.

Pasti ramai yang terpegun saat menjejakkan langkah ke kelas bilik Darjah 3 Marikh, Sekolah Kebangsaan (SK) Methodist ACS Kampar kerana susun atur serta tata rias kelas itu tampak selesa dan kondusif untuk sesi pembelajaran dan pengajaran.

Guru berkenaan, Mohd Irfan Mustaqim Ariffin, 31, berkata, idea menghias bilik darjah itu tercetus susulan pertandingan kelas tercantik peringkat sekolah sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

“Akhirnya angan-angan saya hendak buat kelas ‘hipster’ menjadi kenyataan dengan menggunakan bahan-bahan terpakai seperti untuk buat hiasan perabot.

“Saya mewujudkan sudut meja kopi, sudut bahan bacaan, sudut ganjaran serta permainan, ruangan duduk di tengah kelas, selain sudut info mengenai Perdana Menteri, kemerdekaan negara, dan pameran seragam tentera supaya murid merasa selesa seperti berada di rumah,” katanya lapor Berita Harian.

Tambah Mohd Irfan, selain menghias kelasnya beliau turut diberi kepercayaan menghasilkan beberapa mural dalam kawasan sekolah dengan identiti negeri Perak serta daerah Kampar yang dahulunya dikenali Kinta Selatan.

“Kelas saya ini memang di bangunan lama yang asalnya dibina sepenuhnya dengan kayu.

“Dinding bangunan yang pernah reput sudah diganti baharu menggunakan konkrit cuma bahagian lantai memang tak boleh buat apa-apa, disebabkan itu sampai sekarang lantai papan,” kongsinya.

Author

Pilihan Editor