HomeBeritaMahkamah & JenayahCuri RM500 duit masjid, lelaki ada 10 rekod jenayah dicekup

Curi RM500 duit masjid, lelaki ada 10 rekod jenayah dicekup

AMPANG: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mencuri RM500 daripada tabung sebuah masjid di Taman Nirwana di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, pihaknya menerima laporan daripada bilal yang juga Ahli Jawatankuasa masjid berkenaan pada Isnin.

“Pada 6.49 pagi, pengadu menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati terdapat seorang lelaki berada di kawasan kaki lima masjid dan telah mengumpil tabung masjid selepas solat subuh lalu melarikan diri.

“Bagaimanapun, pada hari sama, jam 5 petang, polis telah menahan suspek di sebuah kediaman di Taman Angsana Hilir dan merampas wang tunai RM101 serta pakaian yang digunakan suspek semasa kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, semakan mendapati, suspek mempunyai 10 rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

Ujian air kencing yang dijalankan juga mendapati suspek positif dadah jenis meth, tambahnya.

“Suspek kini dalam proses permohonan reman di mahkamah,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

“Jika sabit kesalahan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh 10 tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Author

Pilihan Editor