CYBERJAYA: Isu warga asing yang hangat diperkatakan selepas beberapa siri masalah dan onar dilakukan di Malaysia, sekali gus menerima sentimen negatif daripada rakyat tempatan.
Lantaran itu Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan mengingatkan orang ramai supaya tidak menilai dan tidak memukul sama rata terhadap semua warga asing di negara ini.
“Mungkin dalam ramai-ramai dalam setandan kelapa tu ada satu yang kuning, rosak atau tidak elok.
“Bila ada perlakuan macam itu, kita tak boleh nak sifatkan keseluruhan warga asing berpelakuan macam itu kerana yang buat (masalah) mungkin hanya segelintir sahaja.
“Sebagai contoh, etnik Rohingya buat (jenayah) tapi dalam kalangan mereka bukan tiada yang berperangai baik. Dekat Malaysia, ada juga orang Islam buat perkara tidak elok seperti rasuah,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Tindakan wajar kepada semua pesalah jenayah
Mohd Sany berkata, warga asing yang melakukan jenayah atau masalah merupakan isu kemanusiaan dan isu sejagat, yang mana ia juga menjadi larangan bagi sebarang agama mahupun bangsa.
Oleh itu, beliau berkata, sekiranya warga asing melakukan perbuatan terlarang di negara ini, mereka perlu dikenakan tindakan sewajarnya.
“Dalam negara ini, kalau sudah buat jenayah, hukuman tidak mengenal sesiapa pun.
“Tidak kira sama ada pesalah merupakan pelarian atau bukan, tapi kalau dah buat salah dan ada bukti tetap terima hukuman,” tambahnya.
Sebelum ini, MEDIA VARIASI melaporkan, lambakan warga asing di negara ini seolah-olah hanya memberi beban kepada Malaysia.
Ini berikutan beberapa tuntutan dan perlakuan jenayah di negara ini menyebabkan kebanyakan rakyat tempatan muak terhadap kehadiran mereka.
Ia antara lain adalah etnik Rohingya dan warga Bangladesh masing-masing didakwa menuntut Selayang dan Sungai Buloh, Selangor sebagai kawasan mereka.
Malah, ada juga di kalangan etnik Rohingya didakwa menuntut kerakyatan Malaysia, selain berdepan dengan pertuduhan jenayah seperti mencabul, merogol, mencuri dan merompak.
Malah, warga asing juga dilapor tidak segan silu meminta sedekah dengan cara memperdayakan penduduk tempatan.
Terbaharu, aktiviti tersebut dilakukan oleh pasangan dipercayai warga Syria di sekitar ibu negara.
Hanya bermodalkan bayi yang diletakkan di dalam sebuah kereta sorong (stroller), pasangan tersebut didakwa mampu menginap di hotel hasil kutipan derma orang ramai.
Malah, sindiket peminta sedekah dalam kalangan warga asing juga dikesan apabila mereka berpura-pura membuat mimik muka sedih dan berkopiah bagi meraih simpati mangsa.
Perbuatan sindiket itu juga dikesan di Bangi Sentral, dekat Bandar Baru Bangi, Selangor manakala ahli sindiket itu dilihat lari bertempiaran apabila diherdik seorang lelaki.
Ikhlas sedekah
Meskipun tidak bersetuju dengan tindakan sindiket itu, Mohd Sany berkata, pemberian sedekah adalah terpulang kepada keikhlasan mana-mana individu dan tiada sebarang paksaan.
Namun, katanya, jika orang ramai enggan memberi sedekah kepada pihak yang dianggap sindiket, mereka disarankan untuk menolak secara baik.
“Malaysia kaya dengan adat budaya dan kena tunjuk tatasusila. Kita ada akhlak dan adat.
“Sebab kadang-kadang kita tak tahu siapa yang datang minta sedekah. Jadi, kalau kita nak bagi kena ikhlas kerana Allah SWT.
“Sama ada yang minta sedekah itu ada rumah baharu atau tidak, itu urusan dia dengan Allah. Saya maksudkan, kalau ada individu bagi sedekah, InsyaAllah, Allah takkan putuskan rezeki dia,” katanya.