BERIBU-RIBU rakyat Iran berbaris di luar lapangan terbang di ibu negara, Tehran untuk menyambut bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo.
Ronaldo, penyerang untuk kelab bola sepak Saudi Al-Nassr, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini di selatan Tehran pada Isnin sebelum pasukannya menentang kelab Persepolis Iran dalam Liga Juara-Juara AFC pada Selasa.
Bintang bola sepak dunia itu disambut sebaik tiba oleh legenda bola sepak Iran, Ali Daei dan pegawai kanan.
Beribu-ribu peminat berkumpul di luar lapangan terbang untuk melihat kelibat pemain bola sepak kegemaran mereka, yang melawat Iran buat kali pertama.
Beberapa sepanduk mengalu-alukan Ronaldo dan rakan sepasukannya dipasang di seluruh ibu negara Iran.
Ketika romobngan bas yang membawa pemain Al-Nassr, termasuk Ronaldo, bergerak dari lapangan terbang ke hotel mereka di utara Tehran, orang ramai kelihatan berlari-lari mengejar bas tersebut.
Video peminat bola sepak yang kelihatan teruja melambai ke arah bintang bola sepak Portugal itu, yang memegang rekod dunia untuk gol antarabangsa, dikongsi secara meluas di media sosial.
Beberapa video menunjukkan orang ramai mengerumuni bukit di sekitar hotel tempat Ronaldo menginap, mengharapkan peluang untuk bertemu dengannya.
Ramai peminat juga menyerbu hotel, seperti yang ditunjukkan oleh beberapa video. Seorang budak kecil yang memakai jersi Al-Nassr dengan nama Ronaldo dilihat menangis kerana tidak dapat memasuki premis hotel.
Menurut laporan media, pemain Al-Nassr terpaksa membatalkan sesi latihan mereka pada petang Isnin sebelum pertembungan Selasa.
Pengurus Persepolis, Yahya Golmohammadi pada sidang akhbar pada Isnin, memuji Ronaldo sebagai “pemain legenda” dan berkata mereka gembira menerimanya di Tehran.
“Dia adalah sumber kegembiraan dan motivasi kepada ramai pemain muda Iran. Sukar untuk menghalang pemain seperti itu, tetapi selain dia, ada pemain lain yang bagus dalam skuad Al-Nassr,” katanya.
Iran dan Arab Saudi menyambung semula hubungan diplomatik pada April tahun ini selepas diusahakan oleh China, tujuh tahun selepas memutuskan hubungan berikutan penyerbuan Kedutaan Saudi di Tehran dan konsulat di Mashhad oleh perusuh yang marah berikutan hukuman mati terhadap seorang ulama Syiah Saudi. – Anadolu