HomeBeritaDerita Melissa 21 tahun tanpa MyKad buatkan Syed Saddiq utus surat ke...

Derita Melissa 21 tahun tanpa MyKad buatkan Syed Saddiq utus surat ke KDN

CYBERJAYA: Gara-gara tidak mempunyai kad pengenalan diri (MyKad) seorang wanita hanya mampu bersekolah hingga Tahun Enam dan terpaksa hidup dalam penuh kesukaran.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, dia terus mengajak wanita yang dikenali sebagai Melissa, 21, selepas menerima pesanan mesej daripadanya.

Menurutnya, Melissa masih tidak mempunyai MyKad walaupun dalam sijil kelahiran dinyatakan status warganegara dan mempunyai nombor kad pengenalan.

“Dia ceritakan pada tahun 2013, beliau sepatutnya mewakili Pulau Pinang dalam acara Gimnastik Berirama di SUKMA Sarawak. Akhirnya tak dapat pergi sebab tak ada IC (Identity Card).

“Melissa lulus UPSR dan dapat A dalam subjek Bahasa Melayu. Tapi bila nak masuk sekolah menengah tak dapat sebab tak ada IC.

“Saya sedih sebab beliau dinafikan hak pendidikan. Jadi beliau ambil keputusan untuk bekerja.

“Umur 14 tahun sudah kena jual nasi lemak tepi jalan, jual bunga orkid, jual aiskrim Malaysia 20 sen dan macam-macam lagi untuk sara diri,” tulisnya.

Syed Saddiq berkongsi kisah berkenaan menerusi aplikasi X miliknya, Jumaat malam.

Melissa merupakan gadis kelahiran Pulau Pinang, kini tidak dapat menjalani kehidupan normal sebagai warganegara Malaysia seperti mendapatkan pendidikan dan pekerjaan kerana tidak mempunyai MyKad.

Wanita tersebut dilahirkan dan turut dibesarkan di Malaysia, mempunyai keluarga dan rakan-rakan di sini selain fasih berbahasa Melayu.

Tambah Syed Saddiq, beliau percaya masih banyak kes yang hampir sama dan masyarakat yang menerima nasib seperti Melissa.

“Di Muar sendiri ada pakcik dan makcik yang dah hidup berpuluh-puluh tahun, duduk di Malaysia sebelum kita Merdeka lagi, juga masih tidak ada IC.

“Saya akan utuskan surat ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkenaan isu ini dan harap penantian mereka tidak sia-sia.

“Beri peluang kepada mereka untuk berbakti pada Malaysia,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor