HomeGlobalDibuang sekolah gara-gara kimono, pelajar Islam lapor PBB

Dibuang sekolah gara-gara kimono, pelajar Islam lapor PBB

SEORANG pelajar Islam yang telah dibuang sekolah kerana mengenakan pakaian Jepun, kimono di Perancis telah memfailkan aduan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Lapor Agensi Anadolu, gadis berusia 15 tahun yang tinggal di bandar Lyon, Perancis telah menghantar aduan yang membangkitkan isu kontemporari perkauman, diskriminasi kaum, xenofobia dan sikap tidak bertoleransi atas alasan agama yang dianutinya.

Aduan dihantar kepada Pelapor Khas PBB, Ashwini K.P menerusi peguamnya, Nabil Boudi yang mengeluarkan kenyataan pada Jumaat.

Pada 5 September lalu, gadis tersebut dibuang sekolah kerana memakai kimono.

Turut mengecam larangan pemakaian abaya yang diperkenalkan oleh Menteri Pendidikan Perancis, Gabriel Attal, pengadu berkata, kerajaan Perancis mengambil langkah tidak sepatutnya untuk mencegah semua jenis diskriminasi terhadap wanita.

Awal bulan ini, Mahkamah Tinggi Perancis memutuskan bahawa larangan kerajaan terhadap pakaian Muslim, abaya adalah sah.

Keputusan itu sekali gus menolak rayuan kumpulan hak asasi Islam terhadap larangan kerajaan yang diumumkan bulan lalu yang mengenakan larangan memakai abaya, iaitu jubah labuh longgar dikenakan beberapa pelajar Islam di sekolah.

Menurut mahkamah, larangan itu tidak mendiskriminasi umat Islam.

Tindakan kontroversi itu mencetuskan kecaman ke atas kerajaan, yang telah dikritik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, berikutan menyasarkan umat Islam dengan kenyataan dan dasar tidak sepatutnya.

Ini termasuk serbuan ke atas masjid dan yayasan kebajikan, serta undang-undang anti-separatisme yang mengenakan sekatan luas ke atas masyarakat.

 

 

Author

Pilihan Editor