LABUAN: Seorang doktor maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di sini pada Rabu.
Harvin Longanathan, 30, berasal dari bandar Chemor, Perak meninggal dunia di lokasi kejadian berhampiran Simpang Rangas sekitar jam 7.50 pagi.
Ketua Polis Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, mangsa yang melalui Jalan Bebuloh gagal mengawal motosikalnya seterusnya mengenai selekoh jalan.
“Akibatnya, motosikalnya terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar kereta yang dipandu seorang wanita berusia 38 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Mayat mangsa telah dihantar di Hospital Nukleus Labuan untuk proses bedah siasat.
Mohd Hamizi berkata, kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu.