HomeBeritaPolitikDr Mahathir gelar parti dipimpin orang bukan Melayu 'parti pendatang'

Dr Mahathir gelar parti dipimpin orang bukan Melayu ‘parti pendatang’

MUAR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan parti politik yang diterajui orang bukan Melayu sebagai ‘parti pendatang’ (parti migran).

Beliau berkata, keengganan orang bukan Melayu untuk mengasimilasikan budaya Melayu termasuk mewujudkan parti politik sendiri, menyumbang kepada isu perkauman di negara ini.

“Kita tidak nampak perkara ini di negara seperti Thailand, Filipina dan Indonesia yang mewujudkan parti politik untuk ‘pendatang’.

“Namun di Malaysia, ‘pendatang’ ini tinggal di sini dan menerima kerakyatan negara ini tetapi masih menjauhkan diri.

“Dalam politik pun mereka menubuhkan parti sendiri. Sebab itu masih ada isu perkauman di negara ini. Bukan kita tidak suka mereka tetapi mereka yang tidak suka kita,” katanya seperti dilapor The Star.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah di Markas PAS Kawasan Bakri, dekat sini pada Ahad.

Tambah beliau, Pakatan Harapan (PH) dipimpin oleh seseorang yang menunjukkan kepada rakyat bahawa negara ini bukan sahaja milik orang Melayu, malah ia turut dimiliki oleh orang lain.

“Mereka mahu menyerahkan negara ini kepada orang luar. Ini saya tidak boleh terima kerana kita yang meneroka dan membuka Semenanjung,” katanya.

Tegasnya, beliau akan terus bercakap mengenai 3R (Race, Religion, and Royalty) kerana ia adalah haknya untuk bersuara.

Author

Pilihan Editor