KUALA LUMPUR: Kubu Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai agak sukar ditembusi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 7 Oktober ini.
Meskipun mengakui perkara itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagaimanapun yakin bahawa, PN masih berpeluang membuat kejutan di kerusi tersebut, berdasarkan gelombang sokongan seluruh negara terhadap gabungan itu.
“Kita memang akui Pelangai adalah kubu kuat UMNO. Sebelum ini dipegang oleh Tok Nan (bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob).
“Bagaimanapun, kita yakin kebangkitan gelombang PN di seluruh negara akan melanda Pelangai. Ia tidak surut, malah semakin kuat dan tidak mustahil (untuk menang).
“Malah, Johor yang tebal juga jadi semakin nipis. Dia (Pelangai) juga punya ketebalan, tetapi tak nipis sangat, PN akan tetap mencuba,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Muhammad Sanusi sebelum ini melahirkan keyakinan bahawa, PN mampu menawan kerusi berkenaan ketika menghadiri program ‘Sanusi Mai Pelangai’ di Felda Kemasul Bentong, Pahang Sabtu lalu.
Katanya, sebagai ketua dalam ‘peperangan’, beliau perlu menyuntik keyakinan dalam kalangan jentera parti mengenai peluang untuk merampas DUN Pelangai daripada BN.
“Sebagai pengarah pilihan raya, saya mesti ada keyakinan. Kalau saya kata, saya pun tak tahu, orang akan jadi meloroi (tidak bersemangat). Saya sebagai ketua saya kena ada keyakinan itu, baru anak buah bekerja untuk menang,” katanya.
PRK DUN Pelangai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Amizar Abu Adam, Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas).
BN mengekalkan kerusi DUN Pelangai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang diadakan pada November lalu, menerusi Datuk Johari Harun yang maut dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.