HomeSukanEnggan minta maaf selepas celupar, Sancho tersingkir skuad utama United

Enggan minta maaf selepas celupar, Sancho tersingkir skuad utama United

JADON Sancho disingkirkan daripada skuad utama Manchester United, selepas pemain sayap lincah itu enggan meminta maaf kepada Erik ten Hag, susulan hantaran celuparnya di laman X.

Menurut Mirror, isu tersebut didedahkan menerusi laporan terbaharu The Athletics.

The Red Devils dalam kenyataan pada Khamis mengesahkan bahawa Sancho, 23, akan melakukan latihan jauh daripada rakan sepasukannya sehingga isu itu diselesaikan.

“Jadon Sancho akan kekal dalam program latihan peribadi jauh dari pasukan utama, sementara menunggu penyelesaian masalah disiplin,” kata kelab itu.

Sancho, 23, pada minggu lalu mendakwa, Ten Hag menggunakannya sebagai kambing hitam apabila pengurus Belanda itu berkata, alasan dia tidak dipilih bagi pertembungan di Stadium Emirates adalah disebabkan persembahannya ketika latihan.

Tulisnya: “Saya tidak akan membenarkan orang berkata sesuatu yang jelas tidak benar, saya berlatih dengan bagus dalam latihan minggu ini.

“Saya percaya ada sebab lain bagi perkara ini yang saya tidak boleh terima, saya sudah lama dijadikan kambing hitam, sesuatu yang tidak adil!

“Apa yang saya mahu lakukan adalah bermain bola sepak dengan kegembiraan dan menyumbang kepada pasukan.

“Saya menghormati setiap keputusan yang dibuat staf kejurulatihan, saya beraksi dengan pemain yang hebat dan bersyukur untuk berbuat demikian dan saya sedar setiap minggu adalah satu cabaran.

“Saya akan terus memperjuangkan lencana ini walau apapun.”

Sejak itu, Sancho memadamkan hantaran daripada akaun sosialnya tetapi dia difahamkan masih kecewa dengan situasi itu dan enggan meminta maaf.

Pemain itu menyertai United pada tahun 2021 dengan harga £73 juta (RM424 juta) dari Borussia Dortmund, tetapi gagal memenuhi tanda harganya.

The Red Devils juga dilaporkan sedia menjual Sancho kepada kelab Arab Saudi pada musim panas ini sebelum jendela perpindahan ditutup.

Namun, dia dilaporkan tidak terbabit dengan sebarang rundingan, sebaliknya berkunjung ke New York, Amerika Syarikat untuk bercuti.

 

 

 

 

 

Author

Pilihan Editor