KUALA LUMPUR: Tiada yang mustahil untuk skuad Harimau Malaya meloloskan diri ke dalam kelompok 100 terbaik dunia dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Bagaimanapun semua pihak harus realistik kerana impian itu tampak tidak boleh dicapai dalam masa singkat dengan skuad kendalian Kim Pan Gon dianggap memerlukan tempoh yang lama untuk mendaki ke kelompok 100 dunia.
Berdasarkan kemaskini terbaharu FIFA semalam, Harimau Malaya naik dua lagi anak tangga untuk menghuni kedudukan ke-134 dunia susulan kejayaan mengikat Syria dan China dalam aksi persahabatan antarabangsa pada 6 dan 9 September lalu.
Kedudukan itu bagaimanapun menyaksikan skuad negara yang mengumpul 1094.9 mata keseluruhan masih ketinggalan 112.04 mata daripada pasukan di ranking ke-100 dunia, Kazakhstan.
Jurang mata itu bukanlah jumlah yang sedikit dan Harimau Malaya perlu melakar lebih banyak keputusan positif dalam aksi antarabangsa untuk terus mendaki ke kedudukan lebih baik.
Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa menyifatkan tiada jalan lain untuk Harimau Malaya meraih mata tinggi selain perlu melakar keputusan terbaik di pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 dan pusingan akhir Piala Asia 2023 pada November ini dan Januari tahun depan.
Malah, beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam berpendapat bahawa Harimau Malaya mungkin memerlukan tempoh sekurang-kurang lebih dua tahun lagi untuk berada dalam kelompok 100 terbaik dunia.
“Kalau tengok daripada statistik mata terkumpul, pasukan negara masih jauh untuk menembusi kelompok 100 teratas dunia. Apa yang boleh dibuat Harimau Malaya kena berikan keputusan yang baik di kelayakan Piala Dunia dan pusingan akhir Piala Asia.
“Dua pertandingan itu sangat penting buat Harimau Malaya menambah mata. Jadi skuad negara perlu menambah keyakinan pemain dan meningkatkan tahap permainan untuk berdepan perlawanan besar.
“Paling cepat (untuk berada dalam kelompok 100 terbaik dunia) mungkin dua tahun setengah atau tiga tahun lagi dan generasi pemain baharu yang ada perlu dikembangkan.
“Pemain muda harus diberikan pendedahan antarabangsa dan kita berharap Kim Pan Gon (pengendali Harimau Malaya ) dapat mengambil lebih ramai pemain bawah 23 tahun untuk mendapat minit permainan di peringkat tertinggi,” katanya kepada BH Sukan.
Pan Gon sebelum ini turut menyatakan impian atau sasarannya untuk membawa skuad Harimau Malaya berada dalam kelompok 100 terbaik ranking dunia pada masa akan datang. – Berita Harian