HomeBeritaHimpunan Selamatkan Malaysia tetap diteruskan - CheguBard

Himpunan Selamatkan Malaysia tetap diteruskan – CheguBard

CYBERJAYA: Himpunan Selamatkan Malaysia yang dijadualkan berlangsung di pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur pada Sabtu ini akan diteruskan meskipun mendapat reaksi pelbagai pihak.

Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia, Badrol Hisham Shaharin atau CheguBard berkata, penganjuran himpunan itu akan kekal diteruskan dengan jaminan keselamatan terkawal.

“Melihat negara tidak kondusif dengan kenaikan harga, campur tangan kes mahkamah dan sebagainya, jadi kita akan tetap meneruskan himpunan itu.

“Kita menyeru rakyat Malaysia untuk bermunajat bagi menyelamatkan negara daripada perasuah dengan slogan ‘Selamatkan Malaysia’.

“Dijangka ribuan peserta akan turut serta,” katanya seperti dilapor Utusan pada Rabu.

Susulan itu, CheguBard memaklumkan satu mesyuarat antara pihak sekretariat akan dibuat malam ini bagi membincangkan mengenai perincian himpunan tersebut termasuk perubahan lokasi.

Terdahulu, Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Ahmad Fadli Shaari; Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mohamad Hilman Idham hadir ke Ibu pejabat Polis (IPD) Daerah Dang Wangi bagi dirakam percakapan.

Ketiga-tiga mereka dilihat memasuki IPD Dang Wangi pada 11.30 pagi dan proses rakam percakapan selesai selepas sejam kemudian.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayshal berkata, mereka dipanggil hari ini bagi membantu siasatan berhubung sidang akhbar berkaitan himpunan tersebut pada Ahad lalu.

Ketika ditanya mengenai notis pemakluman yang sepatutnya dihantar pada pihak polis, beliau berkata, mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012, tiada sebarang notis perlu dihantar bagi penganjuran himpunan tersebut.

“Secara umumnya, polis telah mengetahui melalui  melalui sidang akhbar, Ahad lalu. Bagaimanapun selepas ini mungkin kita akan hantar notis dari segi teknikal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan ketiga-tiga individu itu dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung himpunan itu.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” maklumnya.

Author

Pilihan Editor