HomePendidikanIbu bapa merungut KBAT tersasar

Ibu bapa merungut KBAT tersasar

Adakah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang diperkenalkan sejak 2013 berada di landasan yang tepat? Hal itu disebabkan kebelakangan ini terlalu banyak rungutan dalam kalangan ibu bapa mengenai keberkesanannya selain ia dianggap tidak logik.

Bukan sekali dua ibu bapa malah guru mempersoalkan kredibiliti KBAT dan tular di media sosial. Tindakan itu sedikit sebanyak memberikan imej kurang baik kepada sistem pendidikan negara.

Mengulas hal ini, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Fouzi Singon, berkata pengenalan KBAT dianggap baik dan positif kerana ia bertujuan membentuk pemikiran pelajar berada di luar kotak terutama dalam aspek penyelesaian dan tindakan.

Justeru, beliau berharap guru-guru dapat membina soalan yang jelas dan tepat berdasarkan prosedur serta peraturan seperti mana dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Rungutan yang ditimbulkan umumnya mengenai soalan KBAT yang dianggap tidak logik dan mengelirukan.

“Ada kala ketaasuban sesetengah guru mengajukan soalan sebegitu membebankan fikiran murid.

“Guru perlu lebih prihatin, hindarkan soalan yang terlebih-lebih, terkeluar daripada landasan hingga menyebabkan gangguan dan kesan psikologi kepada murid.

“Misalnya, sebelum ini tular mengenai soalan berkaitan ‘perigi buta’ yang mengelirukan, tidak logik dan membebankan pemikiran murid,” katanya.

Tegas Fouzi, apa yang lebih utama soalan mestilah berdasarkan skema yang ditetapkan selain mampu diselesaikan berdasarkan pemikiran kritis mengikut peringkat dan usia murid.

Ia juga katanya jangan terlalu jauh daripada jangkauan murid kerana apa yang utama ialah mendidik murid menyelesaikan persoalan yang diberikan.

Sementara itu kata Fouzi, dalam aspek pemarkahan pula terutama membabitkan pemberian markah yang rendah ada kala boleh menjejaskan emosi pelajar dan mengurangkan semangat mereka untuk mengikuti pembelajaran.

Namun beliau tidak menolak ada murid yang mampu menerima markah rendah dengan baik dan menjadi batu loncatan untuk mereka lebih berusaha.

Justeru Fouzi berkata, NUTP bersedia mendengar sebarang permasalahan atau cadangan penambahbaikan daripada mana-mana pihak berkaitan KBAT. Ia termasuklah isu berkaitan sistem peperiksaan yang perlu ditambah baik dari masa ke semasa sesuai dengan perubahan zaman digital masa kini.

“Guru-guru pun boleh mengemukakan cadangan mahupun keluhan kepada NUTP untuk diselesaikan kerana NUTP adalah jambatan antara guru dan KPM,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP), Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Seri Bandar Melaka, Razak Abu Hassan, berkata KBAT mendidik murid untuk berfikir di luar kotak.

Menerusi KBAT katanya, kemahiran itu dibuat secara profesional dengan bimbingan dan sokongan ibu bapa.

“Namun kita tak nafikan meskipun sudah diperkenalkan hampir 10 tahun lalu, masih ada murid gagal memahami konsep soalan untuk bertindak kritis.

“Hal ini mungkin disebabkan tiada silibus pembelajaran khusus, namun sebenarnya ia terletak juga kepada kemahiran guru. Ini tentu saja disebabkan kebolehan dan penerimaan setiap murid itu amat berbeza.

“Jadi, latih tubi soalan KBAT perlu diberi penekanan.

“Latih tubi membantu murid mengenal pasti masalah, jalan penyelesaian dan menganalisa. Malah boleh mendorong mereka memahami kehendak soalan yang akhirnya boleh dipraktikkan ketika mereka berada di tahap pembelajaran yang berbeza,” katanya.

Sementara itu YDP, PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist, Datuk Khairi Anuar Ahmad, berpendapat pelaksanaan KBAT dalam sistem pendidikan negara mewujudkan generasi pelajar yang tidak hanya menghafal dan bersiap-sedia semata-mata untuk menduduki peperiksaan sahaja.

Katanya, KBAT turut menekankan konsep murid perlu faham dan tahu apa yang mereka pelajari seterusnya menggunakan idea, kreativiti serta akal fikiran pada tahap tertinggi menerusi pemahaman juga penilaian mereka.

“Pendekatan KBAT dapat menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat dan membantu pelajar menjadi lebih kreatif juga inovatif menyelesaikan masalah secara tuntas.

“Kita sentiasa mahu memastikan kaedah pembelajaran mampu melahirkan generasi yang mahir menghadapi cabaran hidup dan kerjaya, bijak berinteraksi, berkomunikasi dan bermaklumat selain tidak bermasalah bekerja secara berpasukan.

“Paling penting komited melaksanakan tanggungjawab kepada keluarga, bangsa, agama dan negara,”katanya.

INFO
1. KPM mula memberi perhatian serius untuk pelaksanaan KBAT sejak 2013. Ia adalah kesinambungan pelaksanaan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK) yang diperkenalkan KPM sejak tahun 1994.

2. Ia sebahagian usaha untuk memperkukuh dan memperkasakan kemahiran berfikir dengan memberi penekanan kepada kemahiran menaakul.

3. Pelaksanaannya menggunakan pendekatan menyeluruh dan sistemik merangkumi tujuh elemen.

4. Tiga elemen utama merangkumi kurikulum, pedagogi dan pentaksiran

5. Empat elemen sokongan membentuk KBAT adalah kokurikulum, sokongan komuniti dan swasta, sumber dan bina upaya. – Berita Harian

 

Authors

Pilihan Editor