PETALING JAYA: UMNO diminta membuat referendum terhadap tiga juta ahlinya tentang keputusan untuk mengadakan kerjasama dengan DAP.
Perkara itu dibangkitkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil bagi membalas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menyifatkan gesaan beliau berhubung kerjasama antara UMNO dan DAP sebagai pandangan peribadi.
“YB Anthony, saya wakil akar umbi UMNO. Akar umbi UMNO mahu UMNO kembali ke perjuangan asal iaitu mempertahankan hak-hak orang Melayu, bukan ikut telunjuk DAP untuk perjuangkan ‘Malaysian Malaysia’ dan hapus hak orang Melayu dan Bumiputera.
“Jika mahu tahu secara tepat apa yang akar umbi UMNO mahu, YB boleh minta kepada kawan-kawan pro DAP YB dalam UMNO untuk buat referendum dan tanya tiga juta akar umbi UMNO sama ada mereka mahu bekerjasama dengan DAP atau tidak,” katanya dalam hantaran di laman Facebook pada Selasa.
Terdahulu, Loke berkata, cadangan Isham supaya UMNO bertanding solo dalam pilihan raya tanpa Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP itu bukan pendirian rasmi parti.
Pada Isnin, Isham menggesa UMNO berpisah dengan PH pada pilihan raya, namun, kekal sebahagian Kerajaan Perpaduan.
Katanya, gesaan UMNO bertanding solo sebagai Barisan Nasional (BN) penting dalam strategi mengembalikan semula sokongan akar umbi yang didakwa menolak kerjasama dengan DAP.
Menurut Isham, soal kerjasama UMNO dan PH merupakan isu asas perjuangan iaitu sama ada mempertahankan hak orang Melayu atau menyambut ‘Malaysian Malaysia’ yang diperjuangkan DAP selama ini.
Tegasnya, isu ini tidak boleh didukung berikutan ia amat bertentangan antara kedua-dua parti.
“Bila ada perubahan kepada asas perjuangan perlu ada referendum supaya asas tidak menyimpang dan dengan ini barulah kita tahu pandangan mana yang sebenarnya mewakili parti,” katanya.