HomeGlobalJijik! Pekerja restoran campur jus oren dengan air paip dalam besen mop

Jijik! Pekerja restoran campur jus oren dengan air paip dalam besen mop

PREMIS makanan yang berkualiti bukan sahaja menitikberatkan hidangan enak, malah turut mengambil kira faktor kebersihan dan layanan kakitanganya.

Namun, perkara itu bertentangan dengan sebuah restoran di China yang terlibat dengan skandal kebersihan makanan baru-baru ini seperti dilapor South Morning China Post.

Menerusi video tular, seorang pekerja restoran berkenaan dilihat menuang jus oren dari sebuah periuk besar ke dalam besen yang digunakan untuk mengemop lantai sebelum menambah air paip.

Turut kelihatan dalam video itu adalah sebatang mop dan penyapu yang tergantung di sebelah besen.

Lebih menjijikkan, semua peralatan itu berdekatan dengan tong yang dipenuhi sampah.

Sebatang mop, penyapu serta tong sampah dilihat berdekatan dengan periuk jus oren tersebut. -Foto: Agensi

Apabila pekerja itu menyedari dia sedang dirakam, dia segera mengeluarkan air campuran tu dari besen dan menuangnya semula ke dalam periuk.

“Mereka hanya menggunakan air paip untuk membuat jus oren kita. Ini sangat mengecewakan ramai pelanggan,” jerit seorang lelaki yang merakam video berkenaan.

Restoran Tianye dalam satu kenyataan pada 26 Ogos lalu sudah pun membuat permohonan maaf atas insiden berkenaan atas kecuaian penyeliaan dan kaedah pengurusan yang baik.

Susulan itu, pengurus restoran berkenaan telah diturunkan pangkat, manakala pekerja yang terlibat sudah digantung kerja dan ditempatkan dalam program latihan kebersihan makanan.

Sementara itu, pihak berkuasa penyeliaan pasaran tempatan tidak memberi sebarang komen mengenai perkara tersebut.

Piawaian dan pengurusan kebersihan yang lemah terutamanya di restoran dan sekolah sering menjadi topik utama di China.

Pada Jun, sebuah tadika di wilayah tenggara Jiangxi telah ditutup, selepas seorang pekerja dirakam mencuci pinggan dan peralatan kanak-kanak di dalam tempat urinal.

Pada 2021, kakitangan di sebuah restoran bubur yang mempunyai 1,000 rangkaian di seluruh negara, ditangkap menggunakan sisa makanan untuk membuat bubur serta mengendalikan makanan tanpa mencuci tangan.

Author

Pilihan Editor