HomeGlobalKanak-kanak maut terkena renjatan elektrik di kedai telefon

Kanak-kanak maut terkena renjatan elektrik di kedai telefon

SEORANG kanak-kanak maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di kawasan Pondok Areng, di Tangerang Selatan, Indonesia.

Dalam kejadian pada kira-kira 9.30 malam Ahad itu, mangsa berusia 6 tahun meninggal dunia, selepas bermain di sebuah kaunter telefon bimbit dan dipercayai memegang kabel yang longgar.

Ketua Polis Daerah Pondok Aren, Komisioner Bambang Askar Sodiq berkata, saksi yang merupakan pemilik kaunter ketika itu melihat mangsa tiba-tiba rebah ketika bermain.

“Ya, kanak-kanak itu dilaporkan memegang kawasan di bawah kotak pameran, yang mana terdapat kemungkinan kabel telah terlepas.

“Dia terus dibawa ke hospital oleh ibu bapanya dan pemilik kaunter,” kata Bambang seperti dilapor Detiknews.

Bagaimanapun, katanya, nyawa mangsa tidak dapat diselamatkan ketika dirawat di hospital.

Sementara itu, polis juga telah bergegas ke lokasi kejadian untuk memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) dan keterangan saksi.

“Pada jam 10.30 malam, mangsa tiba di hospital dan disahkan meninggal dunia selepas sejam. Dia kemudia dibawa ke rumah pengebumian dan akan dijangka dikebumikan di Perigi Lama pada hari ini (Isnin),” katanya.

Bambang berkata, hubungan ibu bapa mangsa dan pemilik kaunter diibaratkan seperti keluarga, manakala pemilik kaunter tersebut akan menanggung semua kos pengebumian mangsa.

“Pemilik kaunter bertanggungjawab ke atas semua urusan hospital dan pengebumian, sementara ibu bapa mangsa juga sudah bersetuju untuk tidak mengemukakan saman kerana menganggap kejadian tersebut sebagai satu kemalangan,” katanya lagi.

Pada September 2022, The Times of India melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan disahkan maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik, dalam kejadian di Untawadi, India.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, Grishma, 4, pada mulanya dilihat memegang bahagian peti sejuk beku aiskrim yang diletakkan di luar farmasi berdekatan rumahnya, sebelum insiden itu berlaku.

Author

Pilihan Editor