HomeGlobal'Kenapa kahwin dengan saya?' - Lelaki pukul diri sendiri dakwa isteri curang

‘Kenapa kahwin dengan saya?’ – Lelaki pukul diri sendiri dakwa isteri curang

SEORANG lelaki bertindak mencederakan dirinya, selepas mendakwa bahawa isterinya melakukan hubungan terlarang bersama pemuda lain.

Video insiden yang berlaku di Wuhan, China pada 3 September lalu tular di media sosial ketika ini, lapor South China Morning Post.

“Awak sama sekali tidak peduli tentang keluarga kita.

“Awak tak pernah ambil berat tentang anak kita atau saya. Awak hanya fikir untuk mengadakan janji temu setiap masa. Kenapa awak berkahwin dengan saya?” jerit lelaki itu kepada isterinya.

Wanita itu sebaliknya hanya menunjukkan respons tenang dan membalas kata-kata suaminya, namun tidak jelas tentang apa yang diperkatakan.

Selepas mendengar jawapan wanita itu, lelaki tersebut dilihat hilang kawalan dan mula menumbuk dirinya berulang kali di kepala selain menghentak kaki.

Lelaki itu kemudian berkata: “Saya akan mati tidak lama lagi.”

Video berkenaan mendapat simpati daripada rata-rata pengguna media sosial berhubung nasib menimpa lelaki tersebut.

Tulis seorang netizen “Wanita itu bersikap acuh tidak acuh. Dia jelas tiada perasaan cinta kepada lelaki tersebut.”

Tambah seorang individu: “Lepaskan sahaja wanita itu. Sakit hati sekejap lebih baik daripada terluka dalam tempoh panjang. Jangan seksa satu sama lain lagi.”

“Jika anda tahu dia menjalin hubungan sulit dan tidak peduli tentang anda mahupun anak anda, adakah anda fikir perkahwinan itu boleh diteruskan? Anda harus berfikir mengapa isteri anda jadi seperti itu,” ujar yang lain.

Isu pasangan suami isteri bertengkar sering menjadi tajuk utama di China.

April lalu, seorang lelaki di Shanghai mengecam isterinya kerana membuat aduan tentang kualiti makanan di sebuah restoran, selain merekod keadaan suaminya yang ketika itu mengalami gangguan emosi.

Lelaki itu kemudian memadam video tersebut di media sosial dan menyebabkan kecaman orang ramai kerana dianggap tidak memahami isterinya.

Bulan lalu, seorang lagi lelaki di Shanghai memecahkan cawan ketika bertengkar dengan isterinya berhubung isu kewangan.

Lelaki itu didakwa menampar muka seorang pegawai polis yang datang untuk meleraikan pertengkaran tersebut, sebelum dipenjara selama 10 bulan.

Author

Pilihan Editor