HomeBeritaKerajaan kaji semula masalah dadah

Kerajaan kaji semula masalah dadah

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji semula pendekatan terhadap masalah dadah selaras dengan perkembangan antarabangsa, dalam usaha mencari penyelesaian yang lebih berkesan dari semua aspek.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan melihat penyalahgunaan dadah bukan sahaja sebagai isu jenayah, tetapi isu kesihatan yang memberikan kesan kepada masyarakat dari segi ekonomi, kesihatan, dan sosial.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan menjalankan kajian undang-undang berkaitan hukuman kesalahan membabitkan penyalahgunaan dadah dari perspektif yang berbeza iaitu dengan merujuk kepada keberkesanan pendekatan berasaskan rawatan perubatan atau secara rehabilitasi yang digunakan oleh negara-negara lain dan mengkaji kebolehlaksanaan pendekatan tersebut di Malaysia.

“Saya mempengerusikan Sesi Perbincangan Kajian Undang-Undang Berhubung Hukuman Mengenai Kesalahan Penyalahgunaan Dadah hari ini, bersama wakil daripada Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kesihatan Malaysia, ahli-ahli akademik serta wakil dari organisasi masyarakat sivil.

“Perbincangan itu bagi membincangkan dan mendapatkan pandangan awal mengenai keperluan kajian undang-undang berhubung hukuman kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Azalina berkata, Kementerian Dalam Negeri, Agensi Antidadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) dan badan-badan bukan kerajaan sudah melakukan usaha yang terbaik dalam menangani isu ini.

Bagaimanapun, katanya, masalah itu tidak dapat diselesaikan dengan berkesan dan seterusnya menjadi punca kepada isu sistemik lain seperti kesesakan penjara dan sistem keadilan jenayah yang terbeban.

“Kerajaan Perpaduan komited untuk memelihara kepentingan golongan-golongan berisiko tinggi dalam perkara ini, seperti golongan terdedah, golongan miskin serta kumpulan belia yang mudah dipengaruhi.

“Sesi libat urus lanjutan berkaitan perkara ini termasuk perbincangan kumpulan berfokus akan dikendalikan oleh Timbalan Menteri Undang-Undang (Undang-Undang dan Reformasi Institusi),” katanya.

Author

Pilihan Editor