KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan membelanjakan peruntukan RM400 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan menambah siling RM15 bilion lagi.
Perdana Menteri berkata, ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya bernilai RM415 bilion.
Tambahnya, peningkatan itu bagi menambah keperluan untuk membiayai bidang keutamaan rakyat, di samping memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat.
“Anjakan baharu bermula dengan menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah asas prasarana dan keperluan asas rakyat termasuk memperbaiki sekolah dan klinik daif, menjamin bekalan air bersih, serta meneraju ekonomi Islam,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK-12 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Perdana Menteri berkata, RMK12 juga akan dijajarkan semula dengan visi Ekonomi MADANI, yang menyasarkan pemerkasaan dan merancakkan ekonomi negara untuk tempoh sepuluh tahun.
Justeru, katanya, kerajaan komited untuk membelanjakan sekurang-kurangnya RM90 bilion setahun bagi tahun 2023 hingga 2025.
“RMK12 memperuntukkan RM400 bilion bagi membiayai projek pembangunan sambungan dan baharu untuk tempoh 5 tahun. Bagi tempoh dua tahun pertama, prestasi perbelanjaan sebenar ialah 34 peratus.
“Pada 2021, jumlah perbelanjaan pembangunan hanyalah sebanyak RM64.3 bilion, sementara pada 2022 jumlahnya adalah sebanyak RM71.6 bilion,” katanya.