HomeBeritaKhairuddin dakwa Radzi lakukan jenayah qazaf, dinasihat segera bertaubat

Khairuddin dakwa Radzi lakukan jenayah qazaf, dinasihat segera bertaubat

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin dinasihat bertaubat kerana didakwa membuat tuduhan qazaf terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang termasuk dalam kesalahan jenayah hudud dalam Islam.

Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, qazaf juga termasuk dalam kategori jenayah hudud serta antara dosa besar dalam Islam.

“Ia menjadi satu kesalahan jenayah syariah dalam Akta dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di negeri-negeri dalam Malaysia.

“Bagaimana perkara itu dibiarkan berlaku dalam Parlimen tanpa sebarang teguran sedangkan dalam Parlimen terdapat ustaz-ustaz yang mendalami pengajian Islam dan memperjuangkan pula pelaksanaan hudud dalam negara,” kata Mohd Khairuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus menerusi hantaran di akaun Facebook beliau pada Khamis.

Radzi mengeluarkan perkataan berkenaan ketika bertikam lidah dengan Anwar semasa Menteri Kewangan itu menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat pada Selasa.

 

Author

Pilihan Editor