KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengeluarkan garis panduan khusus, berkaitan buli di sekolah sebagai langkah menangani kegiatan tidak sihat itu.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan atau aktiviti buli kerana sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk setiap murid.
“Kita tidak berkompromi dalam soal kes buli, (jadi) satu garis panduan (berkaitan buli) akan dikeluarkan tidak lama lagi yang akan ada beberapa perkara yang kita sentuh termasuk buli siber.
“Hakikatnya, kita tidak boleh terima aktiviti buli ini dilakukan oleh anak-anak kita di sekolah,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pihaknya turut menzahirkan komitmen terhadap isu jenayah seksual dan perkauman di sekolah.
“Kita tidak boleh bagi muka perkara ini (jenayah seksual dan perkauman)… perkauman berlaku di sekolah walaupun isu ini datang setahun sekali atau setiap kali menjelang pilihan raya,” katanya.
Beliau turut menegaskan KPM tidak akan mengetepikan Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) sebagai salah satu saluran bagi menyampaikan dasar dan maklumat kementerian ke peringkat akar umbi.
Katanya, pembabitan mereka penting kerana ahli kesatuan dan guru adalah pelaksana dan pendukung dalam menentukan kejayaan sesuatu dasar baharu pendidikan negara.
“Teras kami yang pertama adalah untuk memastikan komunikasi akan sampai dan KONGRES akan sentiasa menyambut agenda kementerian,” katanya.