HomeBeritaLRT 'Cerita Malaysiaku' tampil tema koc berbeza sempena Hari Malaysia

LRT ‘Cerita Malaysiaku’ tampil tema koc berbeza sempena Hari Malaysia

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melancarkan transit aliran ringan (LRT) bertemakan ‘Cerita Malaysiaku’ sempena Hari Malaysia di sini pada Rabu.

Inisiatif laluan Kelana Jaya yang disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil itu tercetus bagi menghargai negara Malaysia serta berkongsi fakta dan maklumat agar ia sentiasa diperingati.

Fahmi berkata, beliau mengalu-alukan dan berterima kasih kepada Prasarana dan Rapid Rail atas inisiatif tersebut, berikutan ia selari serta selaras dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Fahmi (dua dari kiri) ketika melancarkan LRT Laluan Kelana Jaya bertemakan ‘Cerita Malaysiaku’ pada Rabu.

Beliau turut berharap agar lebih banyak hiasan dibuat di LRT, Transit Aliran Massa (MRT) dan pengangkutan awam lain pada masa akan datang, demi menyemarakkan rasa kasih dan sayang rakyat kepada negara.

“Saya juga alu-alukan usaha pihak swasta untuk bersama berganding bahu dengan badan-badan seperti Prasarana untuk tujuan sama, kerana sinergi seperti ini sangat diperlukan untuk masa depan bagi menyemarakkan sumbangan kita terhadap negara,” katanya.

Dalam majlis sama, Fahmi menaiki LRT tersebut bermula dari stesen Universiti ke stesen KLCC, selain turut beramah mesra bersama penumpang dan mengedarkan Jalur Gemilang serta cenderahati.

LRT ‘Cerita Malaysiaku’ dibalut khas dan dihiasi dengan visual yang memaparkan
Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum dan budaya.

Orang ramai dapat melihat keunikan tema tren yang berbeza bagi setiap koc seperti Rukun
Negara, Negaraku, kebudayaan, perayaan, kepelbagaian makanan, tempat-tempat menarik
dan juga sejarah pengangkutan awam di Malaysia.

Pengguna yang menaiki LRT ‘Cerita Malaysiaku’ akan disajikan dengan pelbagai maklumat
yang menarik di sepanjang perjalanan untuk ke destinasi yang ingin dituju.

Author

Pilihan Editor