HomeGlobalMahkamah putuskan larangan pakai abaya di Perancis tak diskriminasi Islam

Mahkamah putuskan larangan pakai abaya di Perancis tak diskriminasi Islam

MAHKAMAH Tinggi Perancis pada Khamis memutuskan bahawa larangan kerajaan terhadap pakaian Muslim, abaya adalah sah.

Keputusan itu sekali gus menolak rayuan kumpulan hak asasi Islam terhadap larangan kerajaan yang diumumkan bulan lalu yang mengenakan larangan memakai abaya, iaitu jubah labuh longgar dikenakan beberapa pelajar Islam di sekolah.

Menurut mahkamah, larangan itu tidak mendiskriminasi umat Islam, lapor Middle East Monitor.

“Larangan ini tidak melanggar undang-undang dan tidak menyalahi hak untuk menghormati kehidupan peribadi, kebebasan beragama, hak pendidikan atau prinsip tanpa diskriminasi,” kata mahkamah itu dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pemakaian abaya dan qamis di sekolah yang melonjak pada tahun akhir persekolahan 2022-2023 sesuai dengan logik ikrar agama.

Kerajaan juga melarang pelajar di sekolah kerajaan daripada memakai sebarang pakaian atau simbol kepada mana-mana agama, kata kenyataan itu.

Pada 31 Ogos, peguam bagi Muslim Rights Action (ADM), Vincent Brengarth, memfailkan rayuan kepada mahkamah untuk menangguhkan larangan ke atas pemakaian abaya, yang dianggp melanggar beberapa kebebasan hak asasi.

Awal minggu ini, Menteri Pendidikan, Gabriel Attal berkata, lebih 60 pelajar perempuan Islam enggan menanggalkan abaya di sekolah.

Sesi persekolahan baharu bermula pada Isnin dan meskipun peraturan baharu itu sudah berkuatkuasa, kira-kira 298 pelajar di pelbagai wilayah hadir ke sekolah memakai abaya.

Larangan kontroversi itu mencetuskan bantahan terhadap kerajaan, yang telah dikritik sejak bererapa tahun kebelakangan ini kerana menyasarkan umat Islam dengan beberapa dasar dan kenyataan.

Ini termasuk serbuan ke atas masjid dan yayasan kebajikan serta mengenakan undang-undang anti-separatisme yang memberi sekatan luas ke atas masyarakat.

 

Author

Pilihan Editor