HomeBeritaMahkamah & JenayahMahkamah Rayuan kekalkan perintah Menteri Dalam Negeri haram buku gay

Mahkamah Rayuan kekalkan perintah Menteri Dalam Negeri haram buku gay

 

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan perintah Menteri Dalam Negeri yang mengharamkan buku bertajuk ‘Gay is Okay! A Christian Perspective’, tiga tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Datuk Azizah Nawawi memutuskan demikian secara majoriti 2-1 selepas membenarkan rayuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia.

Hakim Azizah bersama-sama Datuk Wong Kian Kheong membenarkan rayuan itu dengan kos RM15,000 manakala Datuk M. Gunalan mencapai keputusan menentang.

Dengan keputusan itu, panel tersebut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan semakan kehakiman penulis buku tersebut, Ngeo Boon Lin dan penerbitnya, Chong Ton Sin.

Dengan keputusan itu, mahkamah mengekalkan pengharaman buku ‘Gay is Okay! A Christian Perspective’ yang dikeluarkan oleh menteri itu pada 27 November 2020.

Ketika membacakan keputusan majoriti, Hakim Kian Kheong berkata, pengharaman buku itu oleh menteri berkenaan adalah sejajar dengan undang-undang, rasional dan tidak melanggar keadilan.

“Selepas membuat penilaian dan meneliti isi kandungan buku dan tajuknya, mahkamah berpuas hati buku itu memberi pesanan bahawa gaya hidup sejenis tidak dilarang oleh agama Kristian,” ujar beliau.

Beliau berpuas hati, wujud kemungkinan tajuk dan kandungan buku berkenaan akan memprejudiskan ketenteraman awam, nilai-nilai moral dan kepentingan awam.

Ujar hakim itu, seorang menteri akan bertindak secara munasabah dan mengeluarkan perintah larangan jika berpendapat buku itu berkemungkinan memprejudiskan ketenteraman awam meskipun tiada apa-apa yang berlaku selepas tujuh tahun berada di pasaran.

Keputusan majoriti itu turut menyatakan menteri berkenaan telah membuat justifikasi yang betul berlandaskan kepada Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Hakim Kian Kheong selanjutnya menyatakan, berdasarkan Seksyen 7(1), menteri berkenaan mempunyai budi bicara untuk mengeluarkan perintah berkenaan dan kesahihan seksyen itu juga tidak dicabar di mahkamah.

Pada 22 Februari 2022, Hakim Datuk Noorin Badaruddin memutuskan bahawa pengharaman tersebut adalah satu tindakan tidak masuk akal kerana buku tersebut telah berada dalam pasaran lebih dari lapan tahun.

Selain itu, Hakim Noorin dalam penghakimannya menyatakan, mahkamah mendapati tiada sebarang bukti atau asas yang menjustifikasikan tindakan Menteri Dalam Negeri untuk mengharamkan buku berkenaan.

Perayu diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly manakala peguam Edmund Bon mewakili Ton Sin dan Boon Lin selaku responden.

Responden memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 17 Februari 2021 dengan menamakan Menteri Dalam Negeri serta Kerajaan Malaysia sebagai responden bagi membatalkan perintah larangan bertarikh 27 November 2020.

Pada 18 Disember 2020, Kementerian Dalam Negeri telah mewartakan perintah larangan terhadap dua penerbitan, antaranya adalah buku ‘Gay is OK! A Christian Perspective’ di bawah Seksyen 7(1).

Pada 18 Mei lalu, Ahmad Hanir yang mewakili perayu berhujah, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila membenarkan semakan kehakiman oleh penulis buku tersebut dan penerbitnya.

“Alasan pengharaman telah dinyatakan dengan jelas iaitu buku tersebut berkemungkinan akan memprejudiskan ketenteraman awam, memprejudiskan nilai-nilai moral dan kepentingan awam,” katanya.

Selain itu, Ahmad Hanir menyatakan, pengharaman itu dibuat selepas penelitian terhadap isi kandungan buku itu dibuat oleh pihak berkuasa.

Tambahnya, hakikatnya homoseksualiti dianggap tidak bermoral dan tidak diterima oleh masyarakat umum di negara ini.

“Maklum balas masyarakat setiap kali isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) timbul, mereka akan membantah dan menggesa kerajaan mengambil tindakan, malah bantahan dibuat sehingga mengadakan perhimpunan secara besar-besaran.

“Cara hidup homoseksual adalah dilarang oleh semua agama termasuk Islam, Kristian, Buddha dan Hindu. Hakikat ini dicerminkan oleh penolakan terhadap homoseksualiti oleh masyarakat umum yang juga masyarakat berbilang agama.

“Pengiktirafan undang-undang melalui undang-undang yang digubal antara lain berkaitan persetubuhan bertentangan dengan aturan fitrah dalam Kanun Keseksaan,” kata Ahmad Hanir.

Selain itu, Seksyen 7(1) memberikan budi bicara penuh kepada KDN untuk menghalang sebarang penerbitan sama ada secara sepenuhnya atau tertakluk kepada syarat tertentu. – UTUSAN

Author

Pilihan Editor