CYBERJAYA: Stesen RTM memohon maaf kepada juara dan naib juara pertandingan Bintang Kecil 2023, Kiki dan Farha berikutan kesilapan teknikal pada pentas akhir, malam tadi.
Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Datuk Suhaimi Sulaiman menerusi hantaran video di Instagram berkata, kesilapan pengumuman juara dan naib juara berlaku tanpa disengajakan.
“Video ini untuk Kiki dan Farha iaitu pemenang tempat pertama dan kedua pertandingan Bintang Kecil 2023, semalam.
“Saya tahu perasaan Kiki dan Farha tertekan kerana format lampu akan menyala kepada peserta yang menang. Kiki diangkat sebagai juara, tetapi lampu menyala ke atas Farha.
“Jadi, saya minta maaf bagi pihak RTM dan akhirnya, kita selesai pertandingan itu,” jelasnya.
Tambah Suhaimi, Azam Pitt selaku pengacara program sudah cuba sehabis baik menyelamatkan keadaan, namun sukar kerana ia disebabkan masalah teknikal.
Justeru, Suhaimi berharap, isu itu tidak dipanjangkan dan mendoakan kejayaan buat Kiki dan Farha.
“Azam cuba membetulkan keadaan, tetapi agak terlambat sebab lampu sudah terlalu lama menyala dan tak dapat bergerak hingga tersekat, sekali gus memberi tekanan.
“Saya yang berada di atas pentas dapat rasakan tekanan ini. Saya mendoakan kejayaan berterusan buat Kiki dan Farha,” luahnya.
Terdahulu, tular video yang memaparkan kesilapan pengumuman juara dan naib juara pertandingan Bintang Kecil 2023 yang diadakan secara langsung di Arena Gemilang, DeTAR Putra, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan, Sarawak, malam tadi.
Tidak sekadar itu, acara tersebut turut dikejutkan dengan insiden kesilapan pengumuman pemenang peserta terbaik yang disifatkan sebagai satu gimik oleh pengacara.
Program Bintang Kecil 2023 dihoskan oleh Azam Pitt dan Sweet Qismina.