MUAR: Akar umbi UMNO termasuk orang Melayu di Johor secara keseluruhannya tidak perlu fobia dengan DAP yang berada dalam Kerajaan Perpaduan kerana mereka sudah menyatakan deklarasi menyokong empat perkara utama dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara-perkara itu adalah DAP menyokong kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan raja-raja Melayu, hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Malah, katanya, semua Perdana Menteri dari Tunku Abdul Rahman sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim berasal dari UMNO yang terbukti membawa agenda menjaga perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, kerja-kerja memberikan penerangan kepada pengundi khususnya golongan warga emas giat dilaksanakan jentera Barisan Nasional (BN), meskipun tidak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan Parlimen Pulai.
“Semua tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO telah memainkan peranan dengan baik bagi memastikan sokongan semua peringkat umur ahli-ahli parti,” katanya.
Tambah Ahmad, jentera Pemuda Kerajaan Perpaduan perlu meningkatkan kerja-kerja menarik golongan seusia mereka melalui media sosial di pelbagai rangkaian.
“Ini kerana golongan muda lebih terarah kepada penggunaan media sosial dan oleh yang demikian cara ini dilihat lebih berkesan untuk menarik minat mereka.
“Apa yang saya harapkan adalah semua pengundi perlu berfikiran bijak kerana apa yang kita pilih ini adalah untuk tempoh lima tahun, bukan lima hari dan kita akan berhadapan dengannya dalam tempoh panjang sekiranya tersilap pilih,” jelasnya.- Utusan