HomeBeritaMelissa sudah dihubungi, JPN mohon netizen berhenti sensasikan isu tiada kad pengenalan

Melissa sudah dihubungi, JPN mohon netizen berhenti sensasikan isu tiada kad pengenalan

CYBERJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah mengambil maklum mengenai seorang wanita yang didakwa menghadapi kesukaran hidup kerana tidak mempunyai kad pengenalan seperti didedahkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menerusi kenyataannya, JPN memaklumkan, pihaknya sudah menghubungi wanita dikenali sebagai Melissa untuk mendapatkan fakta kes mengenai permohonan sebenar.

Pihak JPN turut melakukan penelitian sewajarnya berhubung isu dibangkitkan mengenai wanita berusia 21 tahun itu.

Sehubungan itu, JPN memohon kepada orang ramai supaya tidak mensensasikan kisah Melissa seterusnya memberi tanggapan yang tidak benar kepada perkhidmatan kerajaan.

“JPN ingin memohon agar orang ramai tidak mensensasikan perkara ini dan seterusnya memberikan tanggapan yang tidak benar kepada kerajaan.

“Proses yang dilaksanakan oleh JPN adalah sentiasa tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, JPN mengingatkan orang ramai yang mempunyai masalah bukan sahaja mengenai kewarganegaraan, malah pelbagai perkhidmatan lain, seperti pendaftaran lewat kelahiran, masalah cap ibu jari, sijil pengangkatan anak angkat, prosedur perkahwinan bukan Islam dan lain-lain, boleh hadir terus ke mana-mana 212 pejabat jabatan ini di seluruh Malaysia untuk dibantu serta dibuat penelitian sewajarnya.

“Pemohon dinasihatkan hadir sendiri tanpa menggunakan khidmat ejen atau orang tengah, memandangkan setiap permohonan dan masalah individu mungkin memerlukan penyelesaian berbeza.

“Bagi mendapatkan informasi awal berkaitan perkhidmatan JPN, orang ramai boleh sentiasa merujuk portal dan media sosial rasmi jabatan ini yang sentiasa menyediakan maklumat terkini sebagai panduan,” katanya.

Author

Pilihan Editor