CYBERJAYA: Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menempelak kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mahukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan daripada kes mahkamah sama seperti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mohd Puad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu mendakwa, kenyataan Khairy itu dikeluarkan berikutan tidak berpuas hati atas keputusan mahkamah, yang melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid atas 47 pertuduhan rasuah baru-baru ini.
Justeru, Mohd Puad mempersoalkan keikhlasan kenyataan Khairy yang mahukan pembebasan Najib, berikutan beliau sebelum ini didakwa tidak pernah bersimpati dengan kes dihadapi bekas Perdana Menteri itu.
“Menurut KJ (Khairy) lagi, Najib ada nilai tambah kepada Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN). Zahid tidak ada. KJ silap jika nilai tambah jadi alasan untuk bebaskan Najib. Ini bukan soal nilai tambah. Ini soal selective prosecution.
“Sebenarnya KJ tidak suka Zahid dan Najib dilepaskan. Dia yang paksa Najib letak jawatan. Baru sekarang mengaku Najib ada nilai tambah?
“UMNO bangkit kerana konsensus dan istiqomah. Bukan kerana nilai tambah sahaja, populis dan keluar sekejap,” sindirnya menerusi hantaran di laman Facebook.
Terdahulu, Khairy menyifatkan pembebasan Najib membawa nilai lebih besar kepada PH dan BN, berbanding Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menerusi episod baharu podcast Keluar Sekejap, Khairy berkata, pembebasan Najib sekurang-kurangnya memberi nilai tambah kepada Kerajaan Perpaduan.
“Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan, alang-alang bebaskan Zahid, bebaskan saja Najib. Sekurang-kurangnya dia ada nilai tambah kepada BN-PH.
“Bandingkan ‘Bossku’ (Najib) dengan Zahid, (orang) yang akan bagi nilai tambah untuk kekang ‘gelombang hijau’ adalah Najib. Apa yang dia (Zahid) boleh buat? Dia tiada nilai tambah,” katanya.
Sebelum ini, selepas 77 hari dibicarakan di Mahkamah Tinggi, Zahid dibebaskan tanpa dilepaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan membabitkan Yayasan Akalbudi selepas Pejabat Peguam Negara (AGC) membuat permohonan berkenaan kepada mahkamah.