HomeBeritaViralMurid takut ke sekolah dakwa dicubit, ditampar guru hingga sakit gigi

Murid takut ke sekolah dakwa dicubit, ditampar guru hingga sakit gigi

TINDAKAN seorang guru yang mengajar dan mendidik secara kasar menyebabkan anak muridnya menerima tekanan mental.

Mendedahkan perkara itu, seorang wanita berkata, anak perempuannya sangat tertekan dengan guru tersebut sehingga ketakutan untuk hadir ke sekolah.

Wanita yang menggunakan nama Amy Syaquena di laman Facebook itu berkata, perjalanan minggu pertama persekolahan April lalu pada mulanya berjalan lancar.

Namun, katanya, anaknya dikenali sebagai Aisya mula ketakutan dan kerap termenung apabila tiba minggu kedua persekolahan.

“Bila tanya dia, jawab dia takut. Ada seorang cikgu ini garang selalu pukul murid.

“Saya jawab, biasalah cikgu. Nak bagi anak murid pandai memang kena garang. Esokmya balik sekolah dia mengadu, cikgu ketuk kepala dia dengan buku. Dia tanya boleh tak dia tak mahu pergi ke sekolah ketika cikgu tu ajar? Saya dah mula rasa tak sedap hati tapi tetap positif,” tulisnya.

Meskipun wanita itu cuba menenangkan Aisya, namun ketakutan anaknya untuk ke sekolah semakin menjadi-jadi.

Pada keesokan harinya, anaknya menangis teresak-esak dan mengadu guru tersebut menampar mukanya sehingga menyebabkannya sakit gigi.

“Saya call suami dan terus bawa pergi klinik. Doktor check mungkin sebab kena tampar kuat, sengal ke gigi sampai demam. Doktor buat surat refer ke hospital.

“Keesokan hari, sekolah call suruh datang sebab Aisya menangis. Sampai pejabat tengok Aisya dalam ketakutan. Saya ketika itu tak cukup tidur sebab Airis (adik Aisya) demam. Teremosilah sedikit,” luahnya.

TIADA PERMOHONAN MAAF

Wanita itu berkata, dia sudah pun memaklumkan perkara itu kepada Guru Besar dan Guru Penolong Kanan (GPK) Hal Ehwal Murid (HEM).

Pada masa sama, katanya,  guru terbabit tidak langsung meminta maaf, sebaliknya menegaskan tindakan ke atas murid-muridnya itu sebagai caranya mengajar.

“Saya cakap, saya tak kisah cikgu nak marah dia ke, nak pukul dia ke tapi bukan di muka atau kepala. Cikgu pun tahu dalam Islam pun melarang kita pukul anak di muka dan kepala.

“Macam biasa dia diam. Hanya Guru Besar dan GPK HEM yang cuba tenangkan saya. Minta peluang tengok macam mana lepas ni,” katanya.

GURU MEMBUAT SINDIRAN

Beberapa hari selepas kejadian itu, wanita tersebut berkata, anaknya sekali lagi mengadu bahawa tangan rakannya lebam selepas dicubit guru terbabit.

Malah, Aisya turut dicubit selepas guru tersebut memberi alasan anaknya tidak membawa buku sekolah.

“Dia kata dia dah siap letak dalam beg. Mungkin Airis ambil sebab Airis suka khianat kakak dia.

“Cikgu suruh pilih nak pukul macam mana. Last cikgu cubit dan lebamlah kakinya. Saya cakap nak beritahu ayahnya tapi dia tak bagi. Cikgu kata tadi bila kena pukul sikit mengadu dengan mak ayah.

“Dah pandai ugut pulak. Ingatkan cikgu ambil pengajaran tapi sebaliknya. Apa pun tunggulah keputusan pakar psikiatrik bulan depan,” katanya.

GURU DITUKARKAN

Aisya kini lagi akan berdepan dengan guru berkenaan. -Foto: FB Amy Syaquena

Meninjau ke laman Facebook wanita itu, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kelantan sudah pun mengambil maklum mengenai perkara itu.

Wanita itu berkata, dia tidak pernah menyebut nama guru dan nama sekolah kerana merasakan tidak adil untuk menjatuhkan reputasi sekolah disebabkan hanya seorang guru yang bermasalah.

Apatah lagi, dia juga tidak mahu keluarga guru tersebut menerima tempias akibat tindakannya.

“Memadailah dengan tindakan JPN/PPD yang bakal diambil. Terima kasih kepada semua yang membantu. Terima kasih juga kepada JPN/PPD Kelantan.

“Saya telah mendapat jaminan yang mana Aisya tidak akan lagi berdepan dengan cikgu tersebut berkuat kuasa hari ini (Rabu). Terima kasih sekali lagi semua,” tambahnya.

Wanita itu berkata, sudah tiga keluarga yang membuat laporan mengenai anak masing-masing dipukul oleh guru sama.

Selain itu, dia juga dimaklumkan bahawa, guru tersebut sudah ditukarkan ke tempat lain berikutan masalah disiplin.

Author

Pilihan Editor