CYBERJAYA: Vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh seolah-olah memberi bayang mengenai hari perkahwinannya dengan wanita pilihannya, Fatin Athira, tidak lama lagi.
Menerusi perkongsian di Instagram Noh, kelihatan foto persalinan pengantin dipercayai merupakan busana untuk majlis pernikahannya.
Menjadi perhatian apabila nama ‘Athira Mustapa’ tertulis jelas di penyangkut busana serba putih hasil rekaan butik jenama Fidae.
Malah, turut kelihatan tarikh 23 September di penyangkut baju itu.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata peminat pelantun lagu Kotak Hati itu membanjiri dengan ucapan tahniah serta mendoakan kebahagiaan mereka.
Untuk rekod, Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh, 38, dilaporkan mengikat tali pertunangan dengan Athira yang juga seorang peguam pada Mei lalu.
Seperti diketahui umum, Noh sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan selebriti, Mizz Nina pada 2011 namun bercerai Ogos lalu.