CYBERJAYA: Seorang pemandu treler cedera parah selepas jentera berat dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 4.5 meter (m) di Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE), hari ini.
Mangsa seorang lelaki berusia 50an itu turut memerah kudratnya keluar daripada bahagian pemandu treler tersebut sebelum kejadian disedari peronda lebuh raya yang segera menghubungi pihak bomba.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.41 pagi dan seramai enam anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian.
“Treler yang membawa muatan minyak masak itu kemudiannya terjunam pada ketinggian 4.5m di bawah lebuh raya tersebut.
“Mangsa yang cedera parah kemudiannya keluar sendiri dari bahagian pemandu treler tersebut,” katanya seperti dilapor Kosmo pada Rabu.
Tambah beliau, mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk rawatan lanjut.
Terdahulu, tular di media sosial memaparkan keadaan treler dan kontena dibawa terpisah antara satu sama lain dengan orang awam menanyakan keadaan mangsa di bawah gaung itu.