PUTRAJAYA: Penganjur Himpunan Aman Selamatkan Malaysia disifatkan sebagai mereka yang langsung tidak menghormati sambutan Hari Malaysia (16 September).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sambutan tarikh 16 September itu sangat signifikan dan sarat dengan semangat saling hormat dan kepatuhan kepada undang-undang.
Beliau berkata, malangnya pihak penganjur pilih tarikh itu dan ia jelas menunjukkan rasa tidak hormat terhadap amalan hidup toleransi dan perpaduan antara kaum dan agama di negara ini.
“Mereka juga tidak menghormati kelompok daripada rakan-rakan kita di Sabah Sarawak yang mana tarikh itu amat penting sekali kepada mereka. Sebaiknya jangan pilih 16 September kerana itu tarikh sambutan Hari Malaysia daripada 31 Ogos hingga 16 September.
“Malangnya aktivis Perikatan Nasional (PN) memilih tarikh itu dan apa sahaja alasannya, mereka anggap ia tarikh yang terbaik untuk mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir pada Majlis Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang 2023, di sini hari ini.
Katanya, beliau difahamkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah maklum mengenai perhimpunan itu dan mereka tahu apa yang perlu dibuat mengikut undang-undang.
Saifuddin berkata, beliau mengakui beliau sendiri adalah produk yang lahir daripada himpunan jalanan sepanjang 30 tahun dalam politik namun, ketika itu himpunan disertainya mematuhi Akta Polis.
“Selepas itu, akta itu ditambah baik dan dikenali sebagai Akta Perhimpunan Aman merangkumi tiga komponen penting iaitu tanggungjawab penganjur, peserta perhimpunan dan pasukan keselamatan.
“Kalau tengok dalam akta itu, kawasan jadi tempat berhimpun pun ada kawasan boleh dan ada yang tidak boleh. Pertama lokasi dekat rumah ibadah, stesen minyak dan pencawan tidak dibenarkan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang dijadualkan Sabtu ini, akan bermula dari Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. – Utusan