HomeBeritaPenunggang motosikal nikmati 30 peratus diskaun tambang feri di Pulau Pinang

Penunggang motosikal nikmati 30 peratus diskaun tambang feri di Pulau Pinang

CYBERJAYA:  Sebanyak 30 peratus diskaun tambang feri ditawarkan menerusi pas musim berdiskaun untuk penunggang motosikal berkuat kuasa hari ini.

Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) memaklumkan, diskaun itu akan disediakan sehingga 30 Jun tahun depan dan pihaknya percaya inisiatif khas tersebut akan memberikan kemudahan kepada pengguna perkhidmatan feri.

“Menerusi diskaun ini, penunggang motosikal hanya perlu membayar RM105 (RM1.75 setiap perjalanan) berbanding harga asal iaitu RM150
(RM2.50 setiap perjalanan).

“Diskaun pas musim ini boleh didapati menerusi MyKad,” katanya seperti dilapor Utusan pada Isnin.

Sebelum ini, timbul rungutan dalam kalangan penunggang motosikal menyifatkan kadar tambang feri baharu agak mahal kepada mereka yang menggunakan perkhidmatan tersebut setiap hari.

Bagi penunggang motosikal kadar tambang yang dikenakan berjumlah RM2.50 sehala menyebabkan mereka perlu membayar RM5 sehari sekiranya berulang alik antara kedua-dua terminal.

Susulan itu,  PPSB menjelaskan pihaknya komited dalam memantau komen dan kebimbangan orang ramai berhubung perkhidmatan feri Pulau Pinang.

“Input anda sangat berharga bagi kami dan kami komited untuk menangani keperluan anda dan memastikan pengalaman perjalanan yang lancar untuk semua.

“Sebagai maklum balas kepada maklum balas yang diterima, PPSB dengan pengesahan bersama Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC), Kementerian Pengangkutan (MOT), dan MMC Corporation Berhad (MMC) menawarkan diskaun khas ini untuk kemudahan pengguna,” katanya.

Tambah PPSB, PPC, MOT dan MMC memahami kepentingan menambah baik perkhidmatan feri dengan mod pengangkutan lain di Pulau Pinang.

”Untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada penumpang kami, jadual perkhidmatan feri kini akan ditambah dengan perjalanan tambahan pada pukul 11 malam setiap hari dari Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Butterworth.

”Pelarasan ini adalah untuk menyelaraskan perkhidmatan feri PPSB dengan jadual tren KTMB ETS yang tiba pada pukul 10.22 malam bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lancar dan selesa untuk semua penumpang,” maklumnya.

Author

Pilihan Editor