CYBERJAYA: Timbul kekecohan di Acara Desaru International Bike Week (DIBW) 2023 yang berlangsung di Pantai Desaru di Kota Tinggi, Johor sejak Jumaat, membabitkan dua kumpulan peserta semalam.
Menerusi beberapa video tular di media sosial, kelihatan aksi pertengkaran antara dua pihak yang berlaku sejak petang dan dipercayai berlanjutan sehingga ke malam.
Video pertelingkahan itu turut mempamerkan beberapa anggota polis tampil mengawal keadaan panas itu.
Bagaimanapun, dalam satu video yang memaparkan kejadian pada sebelah malam, keadaan seperti tidak dapat dikawal sehingga berlaku insiden membaling objek termasuk kerusi dalam kalangan mereka yang terbabit.
Berdasarkan video sama, kedengaran suara individu yang menyatakan kebanyakan peserta yang terbabit dalam insiden kekecohan itu sedang mabuk.
Difahamkan, insiden berlaku membabitkan peserta antarabangsa, namun sekali gus turut memberi kesan kepada peserta tempatan.
Pengesahan kejadian dan maklumat lanjut daripada polis sedang diperoleh.
Untuk rekod, DIBW 2203 adalah festival dan pameran antarabangsa yang dianjurkan selama tiga hari bagi meraikan gaya hidup permotoran.
Dianggarkan festival itu menarik kehadiran kira-kira 100,000 pengunjung kali ini.