KUALA LUMPUR: Hasrat skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 tahun depan lebih awal tidak terlaksana apabila tewas 1-0 kepada Thailand pada aksi terakhir Kumpulan H pusingan kelayakan di Stadium Chonburi, malam tadi.
Bagaimanapun, peluang anak buah E. Elavarasan untuk layak masih lagi terbuka selaku empat pasukan naib juara terbaik namun segalanya akan terjawab selepas berakhirnya enam lagi baki perlawanan dari kumpulan berasingan.
Ketika ini, Tajikistan dan Kemboja dilihat menjadi pecabar utama buat skuad negara namun kedua-dua negara itu turut berdepan lawan sukar iaitu Australia serta Arab Saudi.
Terdahulu, Thailand seakan mengambil masa untuk membaca permainan apabila dilihat membiarkan Malaysia bermula garang sehingga berjaya cipta beberapa gerakan menarik.
Selepas aksi berusia 15 minit, Thailand mula menyerlahkan kualiti sebenar hingga memaksa pemain negara lebih banyak menumpukan perhatian kepada tugasan bertahan.
Minit ke-20, penyokong tuan rumah akhirnya ceria untuk meraikan jaringan pembukaan menerusi tandukan Yotsakon Burapha dan gol itu jelas meningkatkan semangat Thailand yang dilihat cukup tenang dalam setiap kali mengatur serangan.
Bersambung babak kedua, di sebalik kesukaran yang dihadapi pemain negara untuk merapati kotak penalti lawan, beberapa kesilapan pertahanan hampir mengundang padah namun peluang terhidang gagal disudahkan dengan lebih baik oleh penyerang Gajah Perang.
Keputusan Elavarasan memasukan dua lagi penyerang Alif Ikmalrizal Anuar dan T. Saravanan juga gagal membuahkan hasil untuk mengesahkan kemenangan buat Thailand. – Kosmo!