HomeBeritaMahkamah & JenayahPolis jumpa dadah RM3 juta dalam bungkusan teh cina

Polis jumpa dadah RM3 juta dalam bungkusan teh cina

KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dibungkus dalam bungkusan teh cina yang bernilai RM3 juta.

Serbuan yang menemukan dadah seberat 50.25 kilogram itu dilaksanakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada Khamis lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, tiga suspek lelaki warga tempatan berasal dari Sarawak dan berusia 27 hingga 38 tahun turut ditahan dalam serbuan ke atas sebuah kenderaan kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu.

Menurutnya, semasa pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah melakukan serbuan terhadap kenderaan dinaiki suspek, salah seorang suspek cuba melarikan diri semasa menyedari kehadiran polis namun, suspek berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan serbuan menjumpai dan merampas 50 bungkusan berisi teh Cina yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu dengan berat kasar keseluruhan 50.25 kilogram bernilai kira-kira RM3 juta yang disembunyikan di bahagian belakang kerusi penumpang belakang.

“Siasatan awal mendapati, dadah itu dipercayai dibawa masuk melalui jalan darat dari Sarawak untuk dibawa ke Tawau bagi pasaran tempatan di Sabah dan negara jiran, Indonesia.

“Dadah seberat 50.25 kilogram itu boleh menampung kegunaan seramai 200,000 hingga 300,000 orang penagih.

“Turut disita wang tunai pelbagai mata wang, barangan kemas dan jam tangan yang bernilai RM17,067,” katanya seperti dilapor Utusan pada Isnin.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di IPK Sabah, hari ini.

Tambah Jauteh, rampasan dadah itu adalah yang terbesar dilakukan di Sabah pada tahun ini.

Katanya, siasatan lanjut mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis syabu dan seorang lagi mempunyai rekod jenayah lampau (2010) di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Tambah beliau, dua daripada tiga suspek itu mempunyai hubungan persaudaraan manakala, salah seorang suspek pula bekerja sebagai pemandu e-hailing.

“Tangkapan dan rampasan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati mandatori.

“Ketiga-tiga suspek direman bermula dari tarikh ditangkap sehingga 14 September ini,” maklumnya.

Author

Pilihan Editor