MANCHESTER United berdepan dengan kesukaran selepas saham kelab itu jatuh dengan teruk baru-baru ini.
Lapor ESPN, ini berikutan desas-desus keengganan keluarga Glazer untuk menjual The Red Devils dan menariknya keluar dari pasaran.
Kelab itu disenaraikan dalam pasaran saham sejak tahun 2012, manakala kejatuhan terkini menjadikannya hari paling teruk bagi saham United dalam tempoh 11 tahun sebagai syarikat awam.
Saham kelab Old Trafford itu merudum sebanyak 21 peratus, selepas berita tersebar Glazers mungkin tidak akan menjualnya, sebelum melantun semula sedikit hingga turun 18 peratus.
Perubahan itu menyaksikan paras pasaran kelab jatuh sebanyak £550 juta (RM3.2 bilion) – menjadikan nilai pasaran semasa kelab itu sekitar £3.3 bilion (RM19.3 bilion).
Glazers didakwa mahukan hampir £10 bilion (RM58.6 bilion) untuk menjual Red Devils.
Mereka cuba menjual kelab itu sejak November lalu, namun di sebalik rundingan yang memakan masa bersama pembeli berpotensi Sheikh Jassim dan Jim Ratcliffe, kedua-duanya tidak menepati permintaan mereka.
Menurut akhbar Daily Mail, ia menyebabkan pemilik United mengeluarkan kelab itu dari pasaran dengan harapan untuk dijual pada masa depan.
Dikatakan mereka akan cuba menyenaraikan semula United untuk dijual pada tahun 2025 apabila mereka menjangkakan “faktor persekitaran dan kewangan mungkin menarik lebih ramai pembida.”
Bekas legenda United, Gary Neville mengecam pendekatan keluarga Glazer dalam usaha menjual kelab itu.
“Saya tidak percaya Glazers tidak menjual atau melakukan apa-apa cerita. Mereka perlu melakukan sesuatu.
Morning and it’s Arsenal v United for me today on @SkySports . Join us if you like ❤️.
P.s. I don’t believe the Glazers not selling/doing anything story. They have to do something. They’ve run out of money and the financial situation is desperate. They need investment in.…
— Gary Neville (@GNev2) September 3, 2023
“Mereka sudah kehabisan wang dan keadaan kewangan memang mendesak. Mereka memerlukan pelaburan. Mereka juga berdepan kesan toksik kepada kelab dari dalam dan luar,” tulisnya di laman X.