CYBERJAYA: Video seorang gadis mencuba produk penguji secara langsung di bibirnya di sebuah stor kecantikan menerima kritikan netizen kerana dianggap tidak bersih dan boleh dijangkiti penyakit herpes.
Menerusi sebuah video tular di TikTok, memaparkan gadis itu dengan bersahaja meletakkan produk tester iaitu gincu di bibirnya sebelum ditegur salah seorang pelanggan.
“Dik kotor, pakai kat tangan, orang dah pakai tu,” kata pelanggan itu.
Bagaimanapun, gadis itu bertindak menghentikan rakaman selepas menerima teguran kerana malu apabila orang sekeliling memandangnya.
“Orang sebelah pandang aku, malu weh, terus aku blah dari Wa**** tu tak jadi nak beli, malu.
“Salah ke nak try tester barang W****, malu,” katanya.
Rata-rata netizen berpendapat gadis itu tidak mahu menerima nasihat yang diberikan oleh pelanggan itu demi kesihatannya.
“Boleh kena herpes kat bibir dik jangan buat main. Kalau dah kena forever stay dalam badan and anytime boleh active herpes tu. Tak kelakar tau,” komen netizen.
“Member pernah kena herpes sebab pakai tester. Akak tu tegur kira baik nak elak kan awak dapat penyakit,” kongsi netizen
“Bagus kakak tu tegur. Banyak sangat dah orang jumpa dengan saya mengadu bibir mereka tetiba macam mengelupas la, pedih la… sebab hal macam ni la. Antara sebabnya, herpes,” luah netizen.
Untuk pengetahuan, herpes ialah sejenis jangkitan virus yang boleh menghasilkan nanah pada kulit. Jangkitan itu disebar melalui sentuhan kulit ke kulit, bercium atau melakukan hubungan seks.
Individu yang menghidup jangkitan herpes boleh menyebarkan virus ini melalui tuala, cawan, pemotong kuku dan juga gincu.